EKONOMI

Tarif Trump Boleh Jejaskan Pertumbuhan Perdagangan Global Sehingga 10 Peratus

14/03/2025 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kemungkinan berlaku pengurangan jumlah perdagangan global sebanyak 7.0 hingga 10 peratus dalam jangka masa sederhana hingga panjang sekali gus menandakan penurunan ketara jika cadangan tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaksanakan.

Profesor di Stern School of Business, New York University (NYU), Steven A. Altman berkata senario itu boleh berlaku jika AS dan negara lain bertindak balas dalam bentuk tarif ke atas eksport AS.

Beliau juga mempertimbangkan kemungkinan kesan terhadap perdagangan global jika Trump meneruskan peningkatan tarif yang dicadangkan semasa kempen pilihan rayanya, termasuk pengenaan tarif 60 peratus ke atas semua import AS dari China, dan 10 peratus bagi import dari negara lain di seluruh dunia.

“Tarif ini berkemungkinan memperlahan pertumbuhan perdagangan global dengan ketara, walaupun tidak akan menjejaskan sepenuhnya,” katanya semasa taklimat media webinar mengenai pelancaran laporan DHL Trade Atlas hari ini.

Edisi 2025 itu menyediakan laporan mendalam mengenai landskap aliran import dan eksport global.

Laporan yang diterbitkan dengan kerjasama Stern School of Business, NYU itu meliputi hampir 200 negara, meneliti trend pertumbuhan perdagangan, peralihan dari segi geografi, campuran produk yang didagangkan dan perubahan menyeluruh dalam persekitaran perniagaan.

Altman berkata tanpa pelaksanaan sepenuhnya tarif yang dicadangkan Trump, perdagangan global dijangka berkembang kira-kira 16 peratus menjelang 2029, berbanding tahap unjuran 2024.

“Walaupun di bawah anggaran paling pesimistik iaitu pengurangan jumlah perdagangan sebanyak 10 peratus menjelang 2029, pertumbuhan perdagangan yang positif masih akan berlaku dalam tempoh lima tahun akan datang, walaupun jauh lebih rendah daripada senario asas itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan