Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri
KOTA BHARU, 14 Mac (Bernama) -- Jika sebelum ini nasi kerabu lebih sinonim dengan ayam percik atau daging bakar, kini gabungan unik bersama lemak daging bakar kian mencuri perhatian penggemar makanan tradisional di Kelantan.
Keunikan hidangan ini menyebabkan pelanggan sanggup beratur panjang demi merasai kombinasi rasa berlemak, lembut, dan berjus yang dikatakan lebih enak berbanding daging bakar biasa.
Peniaga Nasi Kerabu Lemak Bakar Wan Norazilah Wan Dollah, 39, berkata lemak bakar yang dijadikan lauk utama nasi kerabu itu diperap selama 12 jam, dengan campuran rempah khas sebelum dibakar perlahan-lahan atas bara selama sejam.
Kaedah memasak ini memberikan tekstur garing di luar, tetapi kekal lembut dan berjus di dalam, menjadikannya pilihan baharu bagi penggemar nasi kerabu.
"Saya mula memperkenalkan menu ini sejak Disember tahun lepas … tidak menyangka sambutan pelanggan begitu luar biasa.
“Biasa kita makan nasi kerabu dengan daging bakar dan sebagainya, jadi saya terfikir untuk menggunakan lemak yang dibakar sebagai menu baharu nasi kerabu untuk berniaga di bazar Ramadan Bandar Utama Gua Musang," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata penggunaan arang dalam proses pembakaran turut memberikan keunikan aroma kepada hidangan berkenaan.
Kaedah itu, membantu mengekalkan kelembapan daging serta memberi aroma lebih enak berbanding teknik pembakaran menggunakan dapur gas atau ketuhar.
"Bagi melengkapkan hidangan, lemak bakar itu dihidangkan bersama nasi kerabu biru, budu, sambal kelapa, solok lada serta aneka ulam segar, menjadikan setiap suapan lebih lazat dan seimbang dari segi rasa," katanya.
Meskipun penyediaannya lebih rumit dan memakan masa, Wan Norazilah tetap komited kerana yakin keistimewaan menu ini mampu menawan selera ramai.
“Kami pernah hampir kehabisan stok kerana tidak menyangka permintaan begitu tinggi. Ramai pelanggan datang awal kerana tidak mahu terlepas peluang menikmatinya. Ada juga yang meminta saya menambah kuantiti jualan harian,” katanya.
Wan Norazilah berkata fenomena nasi kerabu lemak bakar ini membuktikan bahawa inovasi dalam makanan tradisional mampu mencetuskan trend baharu.
Walaupun nasi kerabu sudah lama menjadi ikon kulinari Kelantan, sentuhan unik seperti ini menjadikannya lebih menarik dan relevan dengan selera moden.
Melihat kepada sambutan luar biasa itu, tidak mustahil nasi kerabu lemak bakar bakal menjadi satu lagi daya tarikan kulinari negeri Cik Siti Wan Kembang, bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan malah pencinta makanan dari seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial