AM

Taman Kanak-Kanak Masjid Abidin Beri Ruang Ibu Bapa, Jemaah Fokus Tarawih

15/03/2025 12:49 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Mac (Bernama) -- Penyediaan pusat transit bagi menempatkan kanak-kanak berusia tiga hingga tujuh tahun di masjid negeri Terengganu, Masjid Abidin di sini, memberi ruang kepada ibu bapa menunaikan ibadah solat sunat tarawih dengan lebih khusyuk.

Ketua Eksekutif Masjid Abidin Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim berkata Raudah Aulad Centre atau Taman Kanak-Kanak yang dibuka sejak malam pertama Ramadan itu juga turut mendapat respon positif jemaah kerana membolehkan mereka beribadah tanpa sebarang gangguan.

“Tujuan kita buka pusat ini adalah untuk meraikan semua pihak, antaranya ibu-bapa dan para jemaah. Ia dibuka sejak 2017 lagi atas penilitian pihak masjid setelah menerima maklum balas dari jemaah yang mungkin terganggu dengan tangisan atau bunyi bising kanak-kanak yang bermain.

“Selain itu, bunyian itu juga sebenarnya memberi kesan kepada imam misalnya yang mungkin terganggu pada hafalan surat-surah yang dibaca. Atas dasar itu, kita berikhtiar dengan ambil inisiatif ini untuk kebaikan semua pihak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Wan Mohd Hazim berkata penyediaan pusat berkenaan juga adalah hasil keprihatinan pihak masjid terhadap kerunsingan ibu bapa, yang menurutnya ada membuat carian di Facebook mengenai masjid yang menyediakan perkhidmatan menjaga anak kecil bagi membolehkan mereka fokus beribadah.

“Mereka tahu bila anak-anak kecil ini menangis atau berlari-lari dalam masjid, ia boleh mengganggu tetapi pada masa sama teringin untuk berjemaah tarawih di masjid. Jadi, inilah hasilnya,” katanya.

Setiap malam, secara purata 20 orang kanak-kanak bebas bermain dengan pelbagai pengisian menarik di pusat berkenaan iaitu di Perpustakaan Masjid Abidin, menerusi penjagaan oleh tiga petugas wanita yang dipilih pihak pengurusan melalui tapisan temu duga.

Ia akan mula dibuka bermula 8 malam sehingga selesai 20 rakaat tarawih iaitu kira-kira 10.30 malam.

Wan Mohd Hazim berkata pihak masjid bagaimanapun tidak mewajibkan ibu bapa meninggalkan anak mereka di pusat transit berkenaan, walaupun amat menggalakkannya,

“Memang masih ada yang enggan untuk tempatkan anak mereka di situ…saya faham ia mungkin berpunca daripada pelbagai sebab terutama dengan isu melibatkan keselamatan kanak-kanak di tempat asuhan ketika ini.

“Namun kalau tengok anak-anak yang datang - memang pada hari pertama mungkin ada yang menangis, namun esoknya Alhamdulillah dah okay setelah mula kenal dengan kawan-kawan dan penjaga,” katanya menambah aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan