SUKAN

Cross Puji Pencapaian Pemain Skuasy Negara Di Terbuka Australia 2025

15/03/2025 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) Andrew Cross memuji peningkatan prestasi skuad kebangsaan sepanjang kempen Terbuka Australia 2025 walaupun terlepas peluang ke perlawanan akhir di Brisbane, semalam.

Beliau berkata pemain wanita utama negara S Sivasangari menunjukkan prestasi memuaskan menentang Rowan Elaraby dari Mesir berbanding pertemuannya pada Terbuka New Zeland sebelum ini.

“Sivasangari bermain dengan baik berdepan Rowan, semalam. Sebelum ini beliau tewas 0-3 di Terbuka New Zealand dan minggu ini prestasinya lebih baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada saingan suku akhir Terbuka Australia berlangsung di South Bank Piazza itu, Sivasangari tewas 9-11, 6-11, 11-7, 11-6, 5-11 kepada Rowan yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan.

Mengenai Aifa Azman pula, Cross berkata pemain berusia 23 tahun itu turut menunjukkan petanda yang baik pada penampilan kompetitif pertamanya selepas pulih daripada kecederaan quadriceps yang dialami pada Januari lepas.

“Ia adalah minggu yang baik buat Aifa kerana ini merupakan kejohanan pertamanya tahun ini dan penampilan sulungnya di suku akhir. Walaupun melecet di tapak kaki, dia tetap menunjukkan semangat juang yang luar biasa,” katanya.

Aifa pula tewas kepada Tinne Gilis dari Belgium 0-11, 4-11, 5-11 juga di suku akhir.

Dalam kategori lelaki pula, pemain negara Ng Eain Yow yang diletakkan sebagai pilihan kelima terpaksa menarik diri ketika berdepan Mohamad Zakaria dari Mesir pada mata 2-6, susulan mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Cross mengesahkan kecederaan dialami Eain Yow tidak serius.

“Ia satu perlawanan yang baik tapi sayangnya beliau mengalami kekejangan pada set keempat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan