KOTA KINABALU, 15 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah memandang serius kejadian gangguan terhadap penyu di Pulau Manukan yang tular baru-baru ini, kata Menterinya Datuk Seri Christina Liew.
Beliau berkata kementerian melalui Taman-Taman Sabah telah mengambil tindakan tegas berdasarkan Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2024) dengan mengeluarkan notis kompaun kepada lima individu yang terlibat dalam insiden itu dan kepada syarikat yang bertanggungjawab.
“Tindakan yang dilakukan oleh individu dalam video berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip pemuliharaan hidupan marin yang ditekankan oleh kerajaan Sabah.
“Kementerian menyeru semua pengendali pelancongan untuk memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam memastikan pelancong serta petugas masing-masing bagi mematuhi garis panduan dan peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Liew berkata kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan ini adalah penting bagi memastikan ekosistem marin kita terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Kerajaan Sabah kekal komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan hidupan liar dan ekosistem semula jadi, sama ada di dalam atau luar kawasan taman,” katanya.
Baru-baru ini tindakan sekumpulan penyelam menghalang pergerakan seekor penyu dan ikan yu paus dalam dua video berasingan yang tular mengundang kecaman orang ramai.
Dalam video masing-masing berdurasi 31 saat dan satu minit empat saat itu, kelihatan penyelam bertindak mengganggu haiwan berkenaan ketika melakukan aktiviti selaman yang dipercayai berlaku di perairan Pulau Manukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial