AM

"Juh Berambeh Sungkei" Di Kuching Eratkan Hubungan, Kukuhkan Perpaduan

15/03/2025 09:29 PM

KUCHING,15 Mac (Bernama) -- "Juh Berambeh Sungkei", acara berbuka puasa beramai-ramai yang diadakan di Padang Merdeka di sini hari ini, menarik penyertaan ramai daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dalam acara itu menunjukkan komitmen bersama untuk mengukuhkan hubungan antara kaum.

“Penganjuran acara ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan bulan Ramadan, tetapi juga berperanan sebagai platform untuk menyatupadukan rakyat Sarawak,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Sementara itu, orang ramai yang menghadiri acara berkenaan teruja membentang tikar untuk berbuka puasa bersama-sama masyarakat berbilang agama secara santai dalam suasana penuh kebersamaan.

Melvin Mclair, 23, yang berbangsa Bidayuh berkata tahun ini kali kedua dia menyertai berbuka puasa di padang berkenaan.

"Program ini sangat bagus dianjurkan setiap tahun, ia menonjolkan keharmonian bersama… yang Muslim dan bukan Muslim berbuka bersama-sama dan berkongsi juadah," katanya kepada pemberita di sini.

Naomi Ruran Saban, 20, daripada etnik Orang Ulu pula menyarankan agar program itu diperluas di setiap bahagian di Sarawak.

"Saya sangat teruja kerana kali pertama menyertai acara seperti ini. Semoga program ini dapat dianjurkan setiap tahun kerana ia mampu menyemai semangat perpaduan dan keharmonian antara rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan