KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Destinasi beli-belah ikonik Suria KLCC mempersembahkan pengalaman luar biasa buat pengunjung sempena Aidilfitri dengan menampilkan keindahan Maghribi dari 7 Mac hingga 13 April.
Pengunjung berpeluang menikmati suasana unik serta memukau, dengan dekorasi diilhamkan dari Maghribi di Ruang Centre Court, antaranya keindahan Istana Maghribi dalam warna biru diraja dan emas selain pancaran cahaya tanglung Maghribi serta dekorasi lengkungan tradisional.
Di Esplanade KLCC, lengkungan Moorish besar turut mencuri perhatian dengan pencahayaan interaktif yang memberikan latar belakang menarik untuk pengunjung mengabadikan kenangan.
Suria KLCC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengunjung boleh menikmati persembahan “Tradisional Raya Tunes”, menampilkan gitar Oud Arab dan gendang Maghribi di Centre Court pada 30 Mac dan 1 April.
Persembahan tarian “A Raya Dance Spectacle” pula akan menghidupkan Centre Court pada 23 dan 29 Mac serta 31 Mac, bakal menyaksikan para penari mengenakan kostum Maghribi serta menampilkan tarian penuh elemen budaya dan tradisi.
Selain itu, “Pesta Meriah Lain Macam Astro” akan berlangsung pada 15 dan 16 Mac di Centre Court, Suria KLCC dan pengunjung berpeluang bertemu selebriti terkenal seperti Wani Kayrie, Dinda Dania, Zizan Razak, Hael Husaini, dan ramai lagi.
Untuk memeriahkan pengalaman beli-belah, Suria KLCC menawarkan ganjaran eksklusif kepada pembeli, antaranya pembeli yang berbelanja RM2,500 dan ke atas akan menerima e-Baucar RM100 dan satu set Sampul Raya Suria KLCC manakala pembelian RM10,000 dan ke atas bakal memperoleh e-Baucar RM300, satu set Sampul Raya, dan pemegang sampul mewah.
Sebagai sebahagian komitmen jangka panjang terhadap kesedaran kesihatan mental, Suria KLCC juga menawarkan Bengkel Pembuatan Coaster Hari Raya khas buat pembeli “uria Ribbon Pin” berharga RM10, hasil jualan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan berkaitan kesihatan mental.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan dalam kenyataan sama berkata Suria KLCC mengalu-alukan semua untuk bersama-sama meraikan musim perayaan yang penuh bermakna ini.
“Sempena Hari Raya ini, kami berbesar hati untuk mempersembahkan satu sambutan yang bukan sahaja memukau dengan keindahannya tetapi juga menggalakkan perpaduan, kemurahan hati dan kegembiraan,” katanya.
Pusat beli-belah Alamanda Putrajaya turut membawa tema Maghribi di Centre Court, menggabungkan elemen tradisional dan moden dari 7 Mac hingga 6 April manakala di Mesra Mall, Kemaman, Terengganu, kempen Hari Raya dengan dekorasi bertemakan Maghribi berlangsung dari 7 Mac hingga 8 April.
Pengunjung boleh menikmati persembahan tarian Zapin dan Tarian Arab pada 15 hingga 23 Mac di Alamanda, Putrajaya selain VIKids juga berkesempatan mencipta karya seni melalui aktiviti “Moroccan Glass Painting” yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad sepanjang tempoh itu.
Di Mesra Mall pula, pengunjung disajikan persembahan muzik Gamelan dan tarian tradisional pada tarikh terpilih sepanjang Mac selain pengunjung boleh menyertai Bengkel Anyaman Ketupat pada 14 Mac, Pembuatan Tanglung Raya (21 Mac), Kaligrafi Jawi (14 dan 21 Mac) dan Pertandingan Pakaian Tradisional pada 22 Mac.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial