POLITIK

Kongres DAP Platform Perhimpunan Komponen PH - Loke

16/03/2025 04:54 PM

SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP  Anthony Loke, menjelaskan bahawa Kongres Kebangsaan DAP ke-18 yang berlangsung hari ini lebih bersifat perhimpunan untuk komponen Pakatan Harapan (PH).

“Ini lebih kepada perhimpunan dalam PH. Barisan Nasional (BN) pun ada kalanya mereka menjemput parti komponen mereka sahaja. Ia bukan bermaksud ada masalah, tetapi ada ketikanya kita memberi tumpuan kepada komponen sendiri,” katanya.

“Ini biasalah, GPS (Gabungan Parti Sarawak) pun adakan perhimpunan (dalam kalangan komponen parti) mereka sendiri,” katanya ketika ditanya mengenai ketidakhadiran pemimpin BN pada kongres tersebut dalam sidang media, di sini.

Kongres yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam di Seksyen 15, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo. 

Hadir sama, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick dan Naib Presiden PKR Senator K. Saraswathy.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, April ini, Loke yang juga Menteri Pengangkutan mengesahkan komitmen DAP untuk membantu calon BN yang akan bertanding mempertahankan kawasan berkenaan.

“Ini sudah menjadi kebiasaan kita…dalam mana-mana PRK yang melibatkan parti dalam Kerajaan MADANI. Seperti mana mereka membantu kita di DUN Kuala Kubu Bahru, kita juga akan membantu di Ayer Kuning,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya yang menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April, diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Sementara itu, mengulas cadrangan DAP untuk mewujudkan satu mekanisme penilaian calon pilihan raya selepas terbentuknya barisan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang baharu hari ini, Loke berkata ia bagi membolehkan calon diteliti.

“Kita akan kawal sendiri kerana calon yang bertanding adalah ahli DAP, bukan orang luar. Namun, dalam membina mekanisme ini, kita akan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk akademik dan pakar sains politik, yang mungkin telah menjalankan kajian berkaitan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, penentuan calon dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon selepas menerima senarai daripada peringkat negeri.

“Apa yang kita mahu laksanakan ialah satu sistem penilaian sebelum calon diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon yang akan membuat keputusan akhir,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan