AM

Lebih 100 Peniaga Bazar Ramadan Di Kelantan Dikompaun

16/03/2025 05:22 PM

KOTA BHARU, 16 Mac (Bernama) -- Sebanyak 112 peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri ini dikenakan kompaun berjumlah RM12,300 atas pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan sejak awal puasa hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah berkata tindakan itu diambil hasil pemeriksaan ke atas 3,433 petak peniaga di 73 lokasi bazar Ramadan di negeri ini.

Beliau berkata kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki sijil pengendali makanan, tiada suntikan tifoid, berpakaian tidak sesuai, serta tidak memakai apron ketika mengendalikan makanan.

“Kesemua kesalahan ini dikompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Namun, sehingga kini tiada peniaga diarahkan menutup gerai sebaliknya mereka telah diberikan teguran keras untuk segera memperbaiki tahap kebersihan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan sumbangan kepada 1,000 asnaf, armalah dan anak yatim di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 59 pasukan pemantau melibatkan 140 petugas telah ditugaskan bagi menjalankan pemantauan di bazar Ramadan seluruh Kelantan tahun ini.

Hilmi turut menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan aduan berkaitan kebersihan makanan di bazar Ramadan menerusi Kod QR yang dipamerkan di lokasi-lokasi bazar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan