JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Cederakan Remaja: JAIS Diarah Mulakan Semakan Tauliah Mengajar MAIS - Exco

16/03/2025 05:34 PM

SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah memulakan semakan sekiranya agamawan atau guru terkait dengan kes mencederakan seorang remaja lelaki di Kajang baru-baru ini memegang sebarang bentuk tauliah mengajar yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). 

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata sekiranya benar individu itu adalah pemegang tauliah MAIS, maka ia wajar ditarik balik serta-merta dan diharamkan daripada mengajar agama di Selangor.

“Saya menyeru kepada semua agamawan dan guru yang diberikan tauliah mengajar MAIS di Selangor agar sentiasa menjaga kemuliaan agama Islam serta menjauhi segala tindakan ganas yang boleh merosakkan imej kesederhanaan para agamawan ataupun guru.

“Segala tindakan haruslah berdasarkan akhlak mulia, pertimbangan yang rasional serta mengikut asas perundangan yang berkuat kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohammad Fahmi turut menzahirkan kekecewaan dengan tindakan ganas berkenaan yang jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam yang menuntut penyelesaian secara rasional serta berdasarkan asas perundangan yang berkuat kuasa, khususnya pada bulan Ramadan.  

“Susulan itu, saya mengecam segala bentuk kekerasan, lebih-lebih lagi jika pelakunya membawa imej agamawan atau guru. Seorang agamawan ataupun guru harus mengamalkan akhlak yang mulia agar dapat diteladani oleh masyarakat, terutamanya golongan muda,” katanya.

Terdahulu, media pada 14 Mac lepas melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mendakwa dipukul oleh seorang lelaki tidak dikenali akibat perselisihan faham ketika kedua-dua individu berkenaan sedang memandu di kawasan Saujana Impian.

Akibat kejadian itu, remaja lelaki berkenaan mengalami retak pada tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

Siasatan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan tindakan saman trafik, manakala lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Kajang pada 9.50 malam hari yang sama dan direman sehari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan