JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Tumpas, Dadah Bernilai RM1.6 Juta Dirampas

16/03/2025 05:57 PM

BAGAN DATUK, 16 Mac (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses pelbagai jenis dadah dengan penangkapan tiga lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan di Perak dan Lembah Klang pada Rabu lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata bertindak atas maklumat pihaknya menahan suspek pertama berusia 47 tahun di sebuah rumah papan dalam kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Bernam, Bagan Datuk, kira-kira 10.20 malam.

"Semasa serbuan, suspek sedang memproses dadah jenis ketamin di dalam rumah yang disewa dan dijadikan makmal haram sejak tiga bulan lalu.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah tersebut berjaya menemui dadah jenis ketamin dan syabu dengan anggaran berat masing-masing 27.05 kilogram (kg) dan 1.8 kg serta cecair dadah jenis ketamin seberat 40 liter," katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menahan dua lagi suspek kira-kira 11.30 malam pada hari yang sama di dua rumah berasingan di Sentul, Kuala Lumpur, dan Batu Caves, Selangor. Suspek masing-masing berusia 44 dan 42 tahun.

Mat Zani berkata, polis turut merampas peralatan memproses dadah, pelbagai jenis bahan kimia serta dua kenderaan, iaitu Nissan Almera dan Toyota Camry, dalam serbuan berkenaan.

"Nilai keseluruhan rampasan, termasuk dadah dan kenderaan, dianggarkan berjumlah RM1.7 juta.

"Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 232,500 penagih dan dipercayai untuk pasaran di sekitar Perak dan Lembah Klang," katanya, sambil menambah bahawa hasil ujian saringan mendapati kesemua suspek negatif dadah.

Menurutnya, sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Mereka kini direman selama seminggu sehingga 19 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas agar mereka dapat diheret ke muka pengadilan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan