AM

MBBC Hasrat Kumpul 20,000 Al-Quran, Agih Ke Bosnia & Herzegovina

16/03/2025 08:30 PM

MELAKA, 16 Mac (Bernama) -- Majlis Perniagaan Malaysia-Bosnia & Herzegovina (MBBC) berhasrat untuk mengumpul 20,000 naskhah al-Quran untuk diagihkan kepada umat Islam di negara Balkan berkenaan.

Presiden MBBC Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata setakat ini majlis itu berjaya mengumpulkan kira-kira 2,000 naskhah kitab suci berkenaan, yang dibiayai oleh orang perseorangan, syarikat serta derma.

"Program ini juga adalah sebahagian daripada usaha menyokong Kempen Infak dan Waqaf 1 Juta  Al-Quran ke seluruh dunia yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

"Kita yakin mampu mengumpulkan 20,000 naskhah al-Quran menjelang pertengahan tahun ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar MBBC 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Duta Besar Bosnia & Herzegovina ke Malaysia Edin Jahic.

Sementara itu, MBBC dalam kenyataan memaklumkan majlis iftar berkenaan diadakan untuk mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran bagi penghantaran 20,000 naskhah al-Quran ke negara itu.

Kenyataan itu memaklumkan inisiatif berkenaan bertujuan untuk menyediakan naskhah al-Quran kepada komuniti Islam di negara itu bagi memastikan akses lebih besar dalam pemahaman terhadap isi kandungan kitab suci itu selain memupuk pertumbuhan ilmu Islam.

"Ia antara usaha mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina dan menjadi satu wadah sokongan aksesibiliti ilmu Islam kepada mereka yang memerlukan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan