AM

Dua Anggota PBS Cedera Ketika Padam Kebakaran

16/03/2025 09:47 PM

GEORGE TOWN, 16 Mac (Bernama) -- Seorang anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) cedera, manakala seorang lagi patah kaki ketika operasi pemadaman api dalam kebakaran melibatkan dua kilang dan sebuah premis di Jalan Patani di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Endi Sherimi Mohd Azmi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.07 petang, yang memaklumkan terdapat kebakaran.

Endi Sherimi berkata sebaik tiba, pihak bomba mendapati api sedang marak dan kebakaran itu membabitkan tiga premis iaitu dua kilang cecair pelarut dan logam serta sebuah kedai pengelola perkahwinan.

“Dua lelaki yang cedera itu berusia 30-an dan mereka mengalami kecederaan ketika operasi pemadaman iaitu anggota PBS yang patah kaki telah tersadung pada paip semburan air, manakala seorang lagi cedera semasa mengelak besi terjatuh dalam kebakaran.

"Mangsa cedera dari PBS Sungai Puyu dan Kampung Pisang telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pada awalnya, pihaknya menghadapi kesukaran apabila beberapa pili bomba berhampiran mengalami tekanan air rendah, namun ia berjaya diatasi menggunakan jentera lori tangki dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dengan kapasiti 10,000 liter.

“Kami turut menerima sokongan beberapa jentera tangki air PBS dan tangki air bangunan berhampiran untuk operasi pemadaman tiga premis itu. Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 65 minit bagi mengawal api daripada terus merebak ke premis lain yang terdapat di lokasi kejadian.

"Kebakaran itu membabitkan 80 peratus kemusnahan dan sehingga pukul 7.30 malam ini, operasi overhaul masih diteruskan bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, serta tiada mangsa termasuk pekerja di kilang atau premis yang terbakar dalam kebakaran itu cedera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan