AM

Pindaan Akta Finas 1981 Wajar - Fahmi

17/03/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pindaan ke atas Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 dilihat wajar berikutan perubahan besar yang sedang berlaku dalam industri perfileman negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Selain itu, beliau berkata pindaan juga wajar kerana industri berkenaan turut dicabar dengan kepesatan teknologi, yang menyaksikan penstriman langsung kini semakin menjadi pilihan orang ramai.

“Perubahan besar sedang berlaku termasuk dengan penstriman langsung, maka saya lihat wajar kita usahakan pindaan ke atas Akta FINAS bagi mencerminkan perubahan yang sedang berlaku,” katanya selepas menghadiri majlis “Raya Sama-Sama” bagi meraikan penggiat seni dan pengamal media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Ekonomi Azlina Aziz, Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.

Terdahulu, Fahmi menyerahkan sumbangan berupa wang tunai, pakaian raya dan baucar beli-belah kepada 50 penggiat seni dan 26 pengamal media tempatan sempena Ramadan serta sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Majlis berkenaan anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan