AM

Anwar Ucap Salam Nuzul Quran, Pesan Teruskan "Tadabbur" al-Quran

18/03/2025 09:43 AM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Salam Nuzul Quran kepada semua rakyat Malaysia walau di mana mereka berada.

Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata beliau mengambil kesempatan untuk berpesan pada diri dan seluruh umat Islam supaya meneruskan tadabbur al-Quran dengan mata hati serta mengejar keampunan Allah SWT pada pertengahan Ramadan ini.

Tadabbur ialah perbuatan berfikir dengan mendalam menggunakan mata hati sehingga faham makna yang tersirat dalam ayat al-Quran dan hati terkesan apabila membacanya.

“Semoga kita dipilih oleh Allah SWT untuk bertemu dengan lailatulqadar, malam seribu bulan.

“Alhamdulillah pada hari yang penuh keberkatan ini, kita diberi kesempatan untuk bersama-sama memperingati peristiwa penting Nuzul Al-Quran tatkala wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW di Gua Hira’,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkara wahyu pertama, yakni Iqra’ (Bacalah) menjadi titik permulaan sebuah era berasaskan ilmu dan menjadi panduan dalam mengangkat martabat insan dengan nilai keadilan serta ihsan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata al-Quran ialah hidayah dan petunjuk bagi hamba-hamba yang bertakwa, dan mereka yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan sahaja akan merasai kemanisan takwa.

Nuzul Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan di Gua Hira, Makkah, iaitu tahun ke-41 keputeraan baginda. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan