Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 18 Mac (Bernama) -- Sarjana India menerbitkan terjemahan baharu al-Quran dalam bahasa Inggeris dengan matlamat menyampaikan mesej al-Quran "sebagaimana yang difahami oleh generasi terawal Islam."
Zafarul Islam Khan, 77, seorang sarjana lulusan Universiti Al-Azhar mengambil masa kira-kira 12 tahun untuk menyiapkan karya terbabit, dengan tempoh tiga tahun terakhir (2020-2023) yang intensif.
Mendapat pendidikan di India, Mesir dan Britain, beliau fasih dalam bahasa Urdu, Arab dan Inggeris serta telah menulis dan menterjemah puluhan buku dalam ketiga-tiga bahasa.
Sebelum itu, beliau pernah bertugas sebagai editor-penterjemah di Kementerian Luar Libya selama enam tahun.
Pemegang PhD dalam Pengajian Islam dari Universiti Manchester ini juga merupakan felo penyelidik di The Muslim Institute, London (1979–1992).
Beliau membuat keputusan untuk menyemak semula terjemahan popular al-Quran oleh Abdullah Yusuf Ali semasa menunaikan haji bersama isteri pada 2010.
"Terjemahan dalam bahasa yang mudah difahami amat diperlukan. Saya memulakan semakan pertama pada Januari 2011 dan menyiapkannya pada Ogos 2012," katanya kepada Bernama.
Namun, dengan semakan lanjut serta masalah teknikal seperti kerosakan cakera keras komputer menyebabkan kelewatan yang tidak dijangka.
Dalam tempoh itu, Zafarul Islam mengimbangi pelbagai komitmen sosial, pendidikan, akademik dan kemasyarakatan.
Selepas bersara daripada tugas rasmi, beliau menumpukan sepenuh perhatian kepada projek itu dan berjaya menyiapkan "semakan semula yang menyeluruh" dalam tempoh setahun.
Manuskripnya kemudian dihantar secara berperingkat kepada 70 sarjana Islam dan profesor bahasa Arab di seluruh dunia untuk dinilai.
Beliau membentangkan naskhah yang telah diterbitkan dalam satu majlis di Pusat Kebudayaan Islam India, New Delhi, yang turut dihadiri para sarjana agama dan profesor bahasa Arab.
"Matlamat saya menerbitkan terjemahan ini adalah untuk memahami dan menyampaikan al-Quran sebagaimana yang difahami oleh generasi terawal Islam.
"Tidak seperti kebanyakan tafsir lama dan baharu, saya tidak cuba memaksa atau membuktikan sebarang idea yang telah sedia ada dalam pemikiran saya. Saya bergantung kepada sumber tafsir dan kamus Arab yang tertua serta paling berwibawa," jelasnya.
Zafarul Islam menerbitkan terjemahannya dalam dua edisi – satu yang mengandungi teks Arab dan satu lagi dalam bahasa Inggeris sahaja.
Kedua-dua edisi itu turut memuatkan perbincangan mengenai pelbagai tema dalam al-Quran, ringkasan kehidupan Nabi Muhammad, penjelasan istilah Islam dan konteksnya, serta indeks.
Beliau yakin terjemahan itu akan memberi manfaat besar kepada mereka yang bergantung pada bahasa Inggeris untuk mempelajari al-Quran dan Islam.
Projek seterusnya ialah menerbitkan indeks subjek al-Quran yang merangkumi pelbagai istilah, idea, peristiwa, nama, masyarakat purba, serta tempat-tempat yang disebut dalam kitab suci itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial