Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia digesa mempertimbangkan kerjasama strategik untuk lebih berdaya saing dan mendapatkan lebih banyak peluang dalam peralihan tenaga di luar industri.
Naib Presiden Kanan/Ketua Operasi Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mustafa Akbar Reza berkata penggabungan industri OGSE telah disusun semula untuk memberi tumpuan kepada kerjasama strategik.
“Ideanya ialah terdapat banyak syarikat OGSE dan setiap syarikat tertumpu pada satu perniagaan.
“Terma ‘penggabungan industri’ tidak menggambarkan sepenuhnya peluang yang boleh didapati untuk syarikat OGSE dalam membina kapasiti dan keupayaan serta terlalu terhad dari segi apa yang ingin kami capai dalam industri,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian menjelang pelancaran laporan Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 (Pelan Tindakan OGSE) pada 20 Mac.
Dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi pada April 2021, Pelan Tindakan OGSE bertujuan membangunkan sektor OGSE Malaysia yang kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.
Pada 2023, terdapat 3,392 syarikat OGSE di bawah Kategori Kerja dan Peralatan Terpiawai (SWEC) yang dilesenkan dan didaftarkan oleh Petronas.
Mustafa berkata kerjasama strategik akan membantu syarikat OGSE mempelbagaikan dan bersaing dengan lebih baik, terutamanya di luar Malaysia, yang juga boleh membantu mereka mempelbagaikan asas pelanggan mereka.
Katanya MPRC komited untuk memacu kerjasama strategik syarikat OGSE ke hadapan dan agensi itu sedang merangka beberapa program untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan syarikat OGSE bagi mendorong kerjasama strategik dalam industri.
“Maklumat lanjut akan dikongsi pada pelancaran kajian separuh penggal OGSE,” katanya.
Katanya MPRC turut merancang untuk memperkenalkan satu lagi komponen penting dalam kerjasama strategik pada 20 Mac yang mungkin termasuk pemeteraian memorandum persefahaman atau perjanjian rasmi antara satu atau dua rakan kongsi.
Beliau turut menekankan penggunaan teknologi merupakan bidang yang kurang diberi tumpuan oleh syarikat OGSE sebelum ini.
“Kami baru melihat usaha kami untuk meningkatkan penggunaan teknologi mula mencatatkan kemajuan sejak tahun lepas,” katanya, sambil menambah akan ada pengumuman mengenai perkembangan baharu di bawah Geran Pembangunan OGSE untuk menyokong penggunaan teknologi.
Sejak pelancaran pada 2021, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan melalui Geran Pembangunan OGSE, memberi manfaat kepada 64 syarikat, dengan 22 syarikat berjaya dikomersialkan dan menjana hasil gabungan sebanyak RM38.3 juta.
Mustafa berkata Geran Pembangunan OGSE masih belum mendapat penyertaan yang mencukupi daripada wakil di Sabah dan Sarawak.
Oleh itu, katanya MPRC akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan di kedua-dua negeri itu untuk menangani isu ini.
Mengenai laporan kajian separuh penggal, katanya ia dijalankan oleh MPRC untuk menilai kemajuan dan memastikan industri kekal sejajar dengan keutamaan negara dan berjaya menyesuaikan dengan landskap tenaga yang berkembang.
Pada amnya, Mustafa berkata kebanyakan syarikat OGSE terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), justeru impak daripada Pelan Tindakan OGSE terutamanya berkaitan cabaran utama mereka seperti peningkatan kemahiran tenaga kerja, penggunaan teknologi dan akses kepada pembiayaan, akan memberi manfaat kepada PKS.
“Pelan Tindakan OGSE adalah dokumen jangka panjang yang melibatkan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem OGSE.
“Dalam mana-mana usaha berskala besar, antara cabarannya ialah memastikan semua pihak terus komited untuk bekerjasama sehingga mencapai matlamat akhir,” katanya.
Antara pencapaian dicapai sejak pelancaran Pelan Tindakan OGSE ialah merapatkan jurang tenaga kerja dan memenuhi keperluan industri untuk sumber maklumat sehenti mengenai sokongan dan perkhidmatan yang boleh didapati untuk syarikat OGSE.
Mengenai pembangunan tenaga kerja, Mustafa berkata kira-kira 600 individu telah dilatih di bawah program bimbingan, meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dalam industri OGSE serta lebih 300 individu telah meningkatkan kemahiran dan memperoleh sijil dalam disiplin teknikal yang amat diperlukan.
Katanya pelancaran portal i-OGSE pada 2023, yang menyediakan maklumat mengenai bidang termasuk pembiayaan dan program eksport, telah menyalurkan geran, pembiayaan alternatif dan bantuan eksport kepada lebih 60 syarikat.
Mustafa berkata lapan projek baharu atau projek pengembangan telah diluluskan oleh MIDA, menarik pelaburan multinasional dan 160 syarikat serta mencatatkan potensi jualan eksport berjumlah RM2 bilion melalui sesi padanan perniagaan dan pameran perdagangan global diterajui MATRADE.
Sejak 2021, katanya beberapa syarikat OGSE telah beralih kepada sektor baharu secara berperingkat dalam peralihan tenaga, dengan syarikat menceburi bidang tenaga solar dan tenaga boleh baharu yang lain.
“Ini merupakan pencapaian utama dalam evolusi sektor OGSE apabila kita melihat syarikat beralih kepada perniagaan baharu selaras dengan peralihan industri minyak dan gas ke arah menyediakan penyelesaian pelepasan karbon yang lebih rendah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial