AM

300 Ketua Isi Rumah DUN Ayer Kuning Terima Bantuan JKM

18/03/2025 03:09 PM

TAPAH, 18 Mac (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan kepada 300 ketua isi rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini membabitkan peruntukan keseluruhan RM150,000 sebulan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penerima terdiri daripada golongan miskin, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU) yang menerima bantuan wang tunai dengan jumlah berbeza mengikut kategori masing-masing.

“Ada warga emas menerima RM600, OKU seperti cacat penglihatan dapat RM500 sebulan, lain-lain kategori dan nilainya (bantuan wang tunai) berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Santunan Kasih Kerajaan Negeri bersama penerima bantuan JKM yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed di sini hari ini.

Dalam pada itu, Salbiah berkata berdasarkan data penerima bantuan JKM sehingga Februari tahun ini, 52,057 orang menerima manfaat daripada semua skim bantuan bulanan JKM sama ada skim bantuan kerajaan Persekutuan atau negeri. 

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM45.94 juta pada tahun ini untuk pelbagai jenis bantuan yang dapat memberi manfaat kepada 6,000 penerima,” katanya.

Salbiah dalam ucapannya berkata antara usaha kerajaan negeri untuk menoktahkan kemiskinan tegar disumbang oleh sinergi yang digerakkan melalui Task Force Gerak Kerja Pembasmian Kemiskinan Tegar Negeri Perak.

Beliau berkata gerak kerja itu dibentuk melalui penglibatan semua agensi pemberi bantuan bersama pentadbiran daerah seluruh Perak, serta pelaksanaan Inisiatif One Stop Centre Sejahtera Sosial yang menghimpunkan semua agensi berkaitan dengan pembasmian kemiskinan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan