KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar setiap kementerian dan agensi memberi perhatian khusus dan bertindak segera dalam memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Pulau Pinang secara berkesan.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata inisiatif pembangunan itu penting bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk miskin bandar dan penduduk luar bandar yang bakal menikmati manfaat jangka panjang.
“Tiba di Pulau Pinang untuk beberapa rencana hari ini termasuk mengadakan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang turut disertai Ketua Menteri (Chow Kon Yeow), Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta para pegawai kanan Persekutuan dan negeri.
“Perbincangan memberi fokus kepada senarai Projek Keutamaan Negeri Pulau Pinang dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang melibatkan aspek infrastruktur jalan raya, bekalan air, kesihatan, pendidikan, sukan, pelabuhan perikanan dan perbandaran nelayan untuk diteliti selanjutnya.
“Saya turut memberi penekanan kepada usaha membaik pulih serta membina sekolah baharu di Pulau Pinang, selain beberapa lagi projek penting yang akan memberikan kebaikan dan keselesaan buat rakyat terbanyak,” katanya.
Terdahulu Anwar dalam lawatan singkat ke Pulau Pinang hari ini, mempengerusikan mesyuarat khas itu di Pejabat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), di George Town.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial