NIBONG TEBAL, 18 Mac (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau dan beramah mesra bersama peniaga serta pengunjung di Bazar Ramadan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini.
Ketibaan Perdana Menteri di bazar tersebut pada 6.15 petang itu, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Turut serta Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun Goh Choon Aik dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.
Sebaik tiba, Perdana Menteri disambut meriah oleh pengunjung daripada pelbagai kaum dan peringkat umur termasuk kanak-kanak yang teruja berpeluang bertemu dan bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara itu.
Anwar meluangkan masa kira-kira 20 minit berbual dengan peniaga serta menyantuni pengunjung yang hadir ke bazar yang menempatkan 110 gerai itu.
Seorang peniaga Rashidah Hashim, 48, teruja dapat bertemu empat mata dengan Perdana Menteri selain turut gembira kerana berkesempatan memberikan juadah kepada beliau.
“Tak dapat nak digambarkan perasaan sebab tak sangka ini kali pertama saya dapat bersua muka dengan Perdana Menteri. Beliau sempat berseloroh tanya dengan saya pulut udang mana?,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata tambah nilai Touch 'n Go sebanyak RM20 ditawarkan kepada 1,000 pengguna yang hadir ke reruai kementerian itu di bazar tersebut hari ini, melalui inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) selaras dengan aspirasi untuk merancakkan pendigitalan transaksi dalam kalangan peniaga.
Usai tinjauan, Anwar bergerak ke Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Negeri Peringkat Pulau Pinang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial