NIBONG TEBAL, 18 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang telah menyenaraikan 10 projek keutamaan negeri bagi Permohonan Khas Projek Pembangunan Pulau Pinang di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan anggaran kos keseluruhan melebihi RM11 bilion.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara disenaraikan ialah Projek Lebuh Raya Pan Island Link (PIL1), projek naik taraf jalan raya, pemasangan paip serta bangunan, pembinaan sekolah serta pembangunan Bandar Nelayan Pulau Pinang.
"Justeru, saya berharap permohonan ini mendapat perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri demi menyokong kelancaran pembangunan di Pulau Pinang secara keseluruhan," katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Pulau Pinang di Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara di sini hari ini
Majlis itu dihadiri Anwar, Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Chow berkata beliau juga telah menghantar sepucuk surat kepada Anwar berkaitan usaha Pulau Pinang untuk mewujudkan "Penang International Financial Centre" bagi menjadi pelengkap kewangan di bahagian utara.
Beliau berharap cadangan itu mendapat sambutan baik di peringkat Persekutuan demi pembangunan kewangan yang menjadi menjadi lebih progresif di negeri-negeri utara dan bukan hanya di Pulau Pinang semata-mata.
Chow berkata Pulau Pinang juga bersedia melahirkan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi melalui Pelan Tindakan Bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata sinergi yang wujud antara kerajaan negeri dan Persekutuan bukan sahaja mampu memenuhi permintaan industri, tetapi juga usaha untuk melahirkan generasi perintis yang akan menjadi peneraju dalam industri teknologi tinggi dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial