KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dilihat berada dalam keadaan cukup baik dan bersedia untuk dijadikan sebagai pentas aksi final Piala Malaysia 2024-2025 pada 12 April ini.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati kerja-kerja persiapan seperti memotong rumput sedang dijalankan selain kehijauan rumput padang yang bercorak 'papan dam' dilihat kemas tanpa sebarang kerosakan seperti sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Iliyas Jamil berkata pihaknya juga telah bersedia untuk penganjuran piala berprestij yang bakal menyaksikan perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang FC itu
Beliau turut mengesahkan bahawa penukaran rumput jenis hibrid pada padang yang diberi jolokan gelanggang ‘keramat’ Harimau Malaya itu tidak akan dilakukan dan akan terus kekal menggunakan rumput Zeon Zoysia.
"Buat masa ini kita kekal padang rumput Zeon Zoysia sebab ia berada dalam keadaan baik dan kami tidak mahu ganggu.
"Kalau buat pertukaran akan mengambil masa yang lama, kami akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri," katanya kepada pemberita pada sidang media PSM di sini hari ini.
Ilyas turut berkata setakat ini hanya satu konsert yang bakal dianjurkan di SNBJ bagi tahun ini iaitu pada Mei ini.
"Akan datang mungkin ada konsert lain yang akan dijalankan namun tidak akan ada struktur yang berat dibenarkan di atas padang selain penutupan stadium hanya dibenarkan selama 48 jam sahaja," katanya.
Terdahulu, Ilyas turut mengumumkan kadar caj baharu bagi tempat letak kereta di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) yang lebih murah setelah diluluskan Jawatankuasa Dasar Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Beliau berkata caj semasa tiada acara akan dikenakan serendah RM2 bagi tiga jam pertama dan RM5 untuk lebih lima jam.
"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira aduan orang ramai berkenaan kadar caj sebelum ini yang lebih mahal serta tidak sekata mengikut acara berlangsung," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial