NEW YORK, 19 Mac (Bernama-CMG) -- China menggesa Israel mengetepikan penggunaan kekerasan dan segera menghentikan operasi ketenteraan serta hukuman kolektif terhadap orang awam di Gaza.
Gesaan itu dibangkitkan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi kemanusiaan Gaza di sini, pada Selasa.
Fu berkata China kesal terhadap tindakan yang menjejaskan usaha gencatan senjata dan amat bimbang akan penyambungan semula pertempuran di Gaza.
China membantah keras tindakan mempolitikkan bantuan kemanusiaan atau menggunakannya sebagai senjata.
Justeru Israel digesa mematuhi kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memulihkan akses bekalan kemanusiaan di Gaza secara menyeluruh.
Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa melipatgandakan usaha bagi memajukan proses politik 'penyelesaian dua negara' dan memberi jaminan sewajarnya untuk perkara itu.
--BERNAMA-CMG
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan