EKONOMI

EDOTCO, DNB Bekerjasama Dengan Lada Jadikan Langkawi Hab Pelancongan Digital 5G Pertama

19/03/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- EDOTCO Malaysia dan Digital Nasional Bhd (DNB) menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk menjadikan Langkawi sebagai hab pelancongan digital pertama di Malaysia yang menyokong perkhidmatan 5G.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata inisiatif itu menandakan satu lonjakan penting dalam transformasi digital Malaysia, memanfaatkan kesalinghubungan generasi akan datang untuk merevolusikan pengalaman pelancongan, infrastruktur pintar, dan peluang-peluang ekonomi di pulau itu.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, EDOTCO dan DNB akan bekerjasama rapat dengan LADA untuk memastikan pelaksanaan infrastruktur 5G selaras dengan matlamat pelancongan dan ekonomi di pulau berkenaan.

"Kesalinghubungan berkelajuan tinggi akan diperluas ke kawasan tumpuan pelancongan utama, termasuk Langkawi Sky Bridge, tapak geo atau geosites, Pantai Cenang, dan hotel-hotel utama," menurut kenyataan itu.

Bagi memacu penerimaan industri terhadap 5G, EDOTCO, DNB, dan LADA juga akan menganjurkan bengkel industri pertama di Langkawi pada bulan depan.

Bengkel itu akan menghimpunkan pengusaha hotel, agensi pelancongan, penyedia teknologi, dan perniagaan tempatan untuk meneroka bagaimana penyelesaian yang berkuasa 5G boleh mentakrifkan semula sektor pelancongan.

Pengarah Perniagaan Malaysia EDOTCO Gayan Koralage berkata infrastruktur digital hanyalah salah satu daripada aspek transformasi yang berjaya.

Dalam transformasi ini, EDOTCO dan DNB akan memberi tumpuan bersama untuk memupuk inovasi dan penglibatan industri.

"Bengkel bersama LADA ini akan meletakkan asas bagi strategi transformasi digital jangka panjang di Langkawi.

“Kami menyasarkan untuk memperkasakan perniagaan bagi meneroka aliran pendapatan baharu melalui inovasi digital seperti sistem pengurusan hotel pintar, perkhidmatan tanpa sentuh, dan cerapan pelanggan yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Haslina Abdul Hamid berkata Langkawi bukan sahaja hab pelancongan yang terkenal di peringkat global, tetapi juga destinasi untuk acara-acara sukan antarabangsa yang berprestij.

"Kesalinghubungan berkelajuan tinggi akan menyokong analitik data masa nyata untuk atlet, membolehkan penstriman secara langsung untuk penonton global, dan meningkatkan logistik acara melalui pengurusan infrastruktur pintar.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan EDOTCO dan DNB untuk meletakkan Langkawi sebagai model bagi pelancongan pintar dan kecemerlangan sukan antarabangsa,” kata Haslina.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif DNB Datuk Azman Ismail berkata Langkawi menyediakan persekitaran yang ideal untuk menunjukkan bagaimana 5G dapat memperkasakan model pelancongan yang sedia masa hadapan, mencipta peluang-peluang ekonomi baharu, dan menyokong aspirasi digital yang lebih luas bagi Malaysia.

"Bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO), kerjasama ini direka untuk memastikan inisiatif itu memberikan impak yang sebenar dan mampan, bukan hanya untuk Langkawi tetapi sebagai model untuk destinasi-destinasi yang dikuasakan oleh 5G di seluruh Malaysia pada masa depan," katanya.

Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan akan berlangsung selama dua tahun, dengan enam bulan pertama menumpukan kepada pelaksanaan bukti konsep (POC) untuk mengesahkan penyelesaian utama yang didayakan 5G.

Baki 18 bulan berikutnya akan menumpukan kepada meluaskan inisiatif itu dengan lebih banyak kes-kes penggunaan yang lebih maju, seperti perkhidmatan pengangkutan ulang-alik autonomi berkuasa 5G, penyelesaian hospitaliti pintar yang dipacu AI, dan aplikasi generasi akan datang untuk pengalaman pelancongan digital yang lancar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan