KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Penggiat tempatan dalam perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) perlu memanfaatkan kepakaran peralihan tenaga untuk menjangkau pasaran pengguna hiliran, kata Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau berkata kalangan penggiat tempatan mempunyai kelebihan teknologi untuk beralih kepada panel solar dan bahan api penerbangan mampan.
“Sejak pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), saya secara peribadi telah menyaksikan pertambahan minat syarikat asing terhadap OGSE kita, terutama daripada syarikat Jepun dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB).
“Bagaimanapun, wujud ketidaksesuaian dalam bekalan kita, (kerana) kita tidak mempunyai penggiat tempatan yang cukup untuk memanfaatkan peluang ini,” katanya ketika berucap bersempena pelancaran Kajian Separuh Penggal (KSP) Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsan 2021-2030 hari ini.
Menerusi KSP berkenaan, beliau berkata kementerian akan merapatkan jurang ini melalui "pertumbuhan menjangkau OGSE" utama.
“Menjelang 2030, kami menyasarkan untuk mempunyai 10 syarikat OGSE yang telah berjaya berkembang dalam bidang TBB.
"Kami berhasrat memperlihatkan bagaimana projek inovatif, seperti plastik kepada bahan api, boleh disepadukan dan mempelbagaikan aliran perolehan," katanya.
Selain itu, beliau berkata visi kedua adalah meningkatkan kapasiti penggiat OGSE tempatan untuk menjadi juara serantau memandangkan 80 peratus syarikat OGSE adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata peserta "program juara serantau" perlu terdiri daripada syarikat peringkat pertengahan, dengan perolehan melebihi RM50 juta dan mempunyai keuntungan sebelum cukai yang positif dalam tempoh lima tahun tanpa isu undang-undang.
“Idea ini adalah untuk memainkan peranan dalam mengenal pasti dan memadankan peluang. Kami menyokong proses melaksanakan perjanjian dengan memberi akses kepada pembiayaan dan pemasaran.
“Ini boleh berlaku sama ada dalam bentuk penggabungan dan pengambilalihan, pembelian oleh pengurusan atau usaha sama. Tujuannya adalah untuk meningkatkan aktiviti komersial dan meningkatkan perolehan eksport sekurang-kurangnya 50 peratus,” katanya.
Beliau menyifatkan pandemik COVID-19 telah mendedahkan banyak kelemahan kewangan dalam industri OGSE, yang memperlihatkan mereka terperangkap dalam model perniagaan terlalu khusus, terbeban dengan hutang yang berlebihan dan menyaksikan margin keuntungan mereka lenyap.
Kejutan geopolitik daripada peperangan telah mencetuskan naik turun harga minyak yang ketara, melahirkan landskap tidak menentu yang telah menjejaskan keselamatan rantaian bekalan.
“Jika kita mengimbau paras sebelum pandemik, industri ini berjaya menarik pelaburan yang diluluskan berjumlah RM3.3 bilion pada 2019.
“Pada 2022, pelaburan menyusut kepada RM363 juta, iaitu penurunan kira-kira 89 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata KSP yang dilaksanakan adalah tepat pada masanya dalam sejarah industri OGSE.
Sementara itu, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dalam kenyataan berasingan bersempena pelancaran berkenaan berkata KSP Pelan Tindakan OGSE dibina berdasarkan Pelan Tindakan OGSE yang dilancarkan pada April 2021 oleh Kementerian Ekonomi, dengan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) sebagai penjaga.
Pelan ini menampilkan visi baharu untuk membangunkan industri OGSE yang kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global di Malaysia, menyumbang kepada keselamatan tenaga negara, kemampanan dan agenda peralihan tenaga menjelang 2030.
Inisiatif dalam KSP Pelan Tindakan OGSE juga telah diperkemas kepada 26 termasuk tujuh inisiatif utama yang meliputi bidang pembangunan industri, kewangan, teknologi, bakat, eksport dan agenda nasional.
Antara komponen daripada tujuh inisiatif utama ini adalah program juara serantau, yang melibatkan pengembangan PKS untuk bersaing di luar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial