DUNIA

FBM KLCI Ditutup Rendah, Seiring Aliran Pasaran Serantau

20/03/2025 06:56 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini seiring dengan aliran pasaran serantau berikutan sentimen lemah pelabur, kata seorang penganalisis.

Beliau berkata ini sebabkan oleh keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) untuk mengekalkan kadar faedah dan keputusan tidak dijangka People’s Bank of China’s (PBOC) yang  mengekalkan kadar pinjaman utamanya.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 13.50 mata atau 0.89 peratus kepada 1,504.16 daripada paras penutup 1,517.66 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 4.74 mata kepada 1,522.40 dan bergerak antara paras 1,504.14 dan 1,524.23 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 479 berbanding 453, manakala 459 kaunter tidak berubah, 1,046 tidak diniagakan dan 17 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.27 bilion unit bernilai RM2.64 bilion daripada 2.92 bilion unit bernilai RM2.73 bilion pada Rabu.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, meskipun keputusan Fed itu telah dijangkakan, namun langkah yang diambil China adalah diluar jangkaan dan mengecewakan para pelabur. 

Beliau berkata pasaran saham Malaysia, seperti saham serantau lain memberikan respons negatif apabila kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi China telah menjejaskan sentimen.

“Saham Hong Kong susut daripada paras tertinggi tiga tahun selepas PBOC mengekalkan kadar pinjaman utamanya tidak berubah bagi lima bulan berturut-turut, menunjukkan kekurangan rangsangan baharu untuk menyokong pertumbuhan.

“Memandangkan hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia yang kukuh dengan China, sebarang petanda pertumbuhan yang lebih perlahan atau kekangan sokongan dasar dari Beijing cenderung membawa kesan limpahan terhadap ekuiti tempatan,” katanya kepada Bernama.

.Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 2.23 peratus kepada 24,219.95, Nikkei 225 Jepun turun 0.25 peratus kepada 37,751.88, manakala Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.57 peratus kepada 3,930.49.

Di pasaran tempatan, penurunan FBM KLCI hari ini didorong terutamanya oleh penurunan dalam kaunter sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan dan telekomunikasi, manakala kaunter untung diterajui oleh saham utiliti.

"Sektor penjagaan kesihatan terus berada di bawah tekanan berikutan kebimbangan berterusan berkaitan pelarasan premium insurans dan had harga kawal selia, yang telah mencetuskan ketidakpastian terhadap margin keuntungan dan prospek pendapatan pada masa depan," kata Mohd Sedek.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal dan MISC naik satu sen setiap satu masing-masing kepada RM5.01 dan RM7.13, Petronas Gas meningkat dua sen kepada RM16.94, SD Guthrie menokok tiga sen kepada RM4.86, manakala Maybank turun 18 sen kepada RM10.18, Public Bank susut enam sen kepada RM4.48 manakala IHH Healthcare berkurangan 33 sen kepada RM6.77. 

Dalam kalangan kaunter cergas, Reneuco naik satu sen kepada lima sen, IJM Corp meningkat tujuh sen kepada RM2, Pertama Digital dan Innature tidak berubah masing-masing kepada 17 sen dan 21.5 sen, manakala V.S.Industri turun 9.5 sen kepada 81 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 62.69 mata kepada 11,301.37, Indeks FBMT 100 berkurangan 69.86 mata kepada 11,051.83 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 31.97 mata kepada 11,026.82.

Indeks FBM 70 meningkat 13.31 mata kepada 16,273.52 dan Indeks FBM ACE naik 67.22 mata kepada 4,778.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 207.14 mata kepada 18,405.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.61 mata kepada 154.16, Indeks Tenaga meningkat 9.91 mata kepada 750.30, dan Indeks Perladangan menokok 14.12 mata kepada 7,451.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.55 bilion unit bernilai RM2.35 bilion daripada 1.48 bilion unit bernilai RM2.46 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.39 bilion unit bernilai RM194.65 juta daripada 1.11 bilion unit bernilai RM165.83 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 323.95 juta bernilai RM93.78 juta daripada 318.77 juta unit bernilai RM101.24 juta pada Rabu.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 231.06 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (250.97 juta), pembinaan (128.36 juta), teknologi (224.03 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (112.02 juta), hartanah (96.43 juta), perladangan(20.12 juta), dana tertutup (7,900), tenaga (24.53 juta), penjagaan kesihatan (85.24 juta), telekomunikasi dan media (37.44 juta), pengangkutan dan logistik (36.80 juta), utiliti (69.31 juta) dan amanah perniagaan (77,200).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan