EKONOMI

PruBSN Perkukuh Nilai Ta’awun, Tingkat Kesedaran Takaful

20/03/2025 10:16 PM

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) terus komited memperkukuh nilai kebersamaan dan saling membantu menerusi program Ta’awun Ramadan yang kembali untuk tahun kedua. 

Bertemakan “Ukhuwah Berkawah”, program berkenaan menampilkan pelbagai inisiatif kebajikan, kerohanian dan kelestarian yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata konsep Ta’awun atau pertolongan bersama adalah prinsip utama dalam operasi dan perniagaan takaful.

Beliau berkata konsep Ta’awun dalam takaful membawa maksud tanggungjawab semua peserta untuk saling membantu antara peserta dalam menghadapi risiko dan musibah.

"Ini melibatkan kerjasama antara peserta untuk menghadapi risiko dan musibah dengan setiap peserta menyumbang ke dalam dana bersama yang dipanggil dana Tabarru’ dengan niat untuk membantu peserta lain yang mengalami kesusahan,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media di sini hari ini.

Wan Saifulrizal berkata masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan kewangan.

“Hanya kira-kira 42 peratus rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans atau takaful manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan. Antara puncanya adalah kerana kurang pengetahuan mengenai takaful,” katanya.

Oleh demikian, Wan Saifulrizal berkata PruBSN sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk melalui program Ta’awun Ramadan.

"Bersempena bulan mulia ini, PruBSN telah mengambil pendekatan yang proaktif untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat di luar mengenai nilai sebenar di sebalik Takaful yang bukan hanya terletak pada manfaat perlindungan kehidupan semata-mata,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada program Ta’awun Ramadan, Wan Saifulrizal berkata PruBSN turut melaksanakan aktiviti bersama komuniti dan sukarelawan dengan penglibatan 600 perunding Takaful dan staf PruBSN yang turun padang sebagai sukarelawan untuk memasak dan mengedarkan juadah kepada komuniti setempat.

Beliau berkata sebanyak 10,000 pek bubur lambuk dan gulai kawah telah diedarkan di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.

Wan Saifulrizal berkata Ramadan tahun ini membawa makna yang istimewa buat syarikat itu apabila badan amalnya, PruBSN Prihatin meraikan ulang tahun yang ke-10.

"Sejak penubuhannya, PruBSN Prihatin telah menyumbang semula kepada masyarakat melalui pelaburan komuniti lebih daripada RM28 juta bagi menyantuni lebih 200,000 individu yang memerlukan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan