AM

Kelulusan RUU Perkhidmatan Parlimen Peristiwa Penting Dalam Lipatan Sejarah - Azalina

20/03/2025 11:17 PM

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Kelulusan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan peristiwa bermakna dalam sejarah perjalanan institusi Parlimen Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kelulusan itu menandakan pengembalian kebebasan perkhidmatan Parlimen selepas 33 tahun akta tersebut dimansuhkan.

Beliau berkata akta itu pertama kali diperkenalkan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada 1963 sebelum ia dimansuhkan pada 1992.

“Ia selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasakan institusi Parlimen dan mengembalikan autonominya sejajar dengan prinsip demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025, yang antara lain bertujuan memastikan keberkesanan institusi itu dalam menjalankan fungsinya secara bebas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Rang undang-undang itu sebelum ini diluluskan Dewan Rakyat pada 5 Mac lepas.

Mengulas lanjut, Azalina berkata kelulusan rang undang-undang berkenaan membuktikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpegang teguh pada komitmen agenda reformasi untuk mengembalikan kebebasan perkhidmatan Parlimen.

“Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesediaan beliau selaku Ketua Majlis untuk membuat perubahan besar dalam landskap perundangan, demi kesejahteraan negara,” katanya.

Azalina berkata kejayaan ini akan memastikan Parlimen, selaku badan tertinggi negara dalam menggubal undang-undang, dapat beroperasi secara bebas, profesional dan berautonomi sejajar dengan prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Beliau berkata Parlimen kini dapat menentukan tadbir urus perkhidmatannya sendiri serta mengurus aspek kewangan dan pentadbiran secara bebas.

“Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan institusi Parlimen, malah menjadi asas penting dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih demokratik dan progresif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan