AM

Anwar Pengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Terengganu

21/03/2025 09:48 PM

CHUKAI, 21 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Terengganu di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Timur di sini.

Anwar, yang tiba pada 4.56 petang dengan mengenakan Baju Melayu berwarna ungu, disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan kepimpinan negeri.

Turut hadir pada mesyuarat tertutup yang berlangsung lebih sejam itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali.

Sejurus selesai mesyuarat, Perdana Menteri dijadual mengadakan sesi tinjauan mesra di Bazar Ramadan Jalan Padang Astaka di sini, yang terletak kira-kira enam kilometer dari INTAN Wilayah Timur.

 Menteri Kewangan itu turut dijadual menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Terengganu di pekarangan Masjid Sultan Ahmad.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Terengganu yang dihadiri beliau bersama Menteri Besar serta pimpinan pusat dan negeri antara lain membincangkan projek infrastruktur asas dan awam.

Ia termasuk soal pendidikan, kesihatan, jalan raya, tebatan banjir dan pengurusan hakisan pantai khususnya untuk menyegerakan projek yang menjadi keutamaan di Terengganu.

Pada masa sama, Anwar berkata status projek sakit dan usaha menangani isu kemiskinan tegar turut dibincang secara mendalam.

“Saya tegaskan agar semua agensi yang terlibat mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada kumpulan rakyat yang dinafikan hak untuk menikmati pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Kerajaan MADANI juga akan memberi perhatian kepada penyelenggaraan infrastruktur pelancongan di pulau-pulau di Terengganu yang membabitkan peruntukan sekitar RM70 juta sebagai menyemangati Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Perdana Menteri juga berharap setiap inisiatif yang dirancang dapat berjalan lancar demi kemakmuran rakyat dan negeri Terengganu.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan