EKONOMI

Petronas Gas Sasar Pertumbuhan Mampan Dalam Persekitaran Peralihan Tenaga

21/03/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) kekal komited untuk mencapai pertumbuhan mampan dan mengemudi landskap tenaga yang berkembang pada masa depan, kata Pengerusinya Datuk Adif Zulkifli.

Berpandukan agenda strategik PGB, syarikat itu akan terus mengutamakan mengekalkan kecemerlangan dalam operasi teras, berkembang di sepanjang rantaian nilai gas asli dan memanfaatkan peluang yang dibentangkan oleh peralihan tenaga, katanya dalam Laporan Tahunan PGB 2024.

“Jangkaan bahawa akan berlaku peningkatan permintaan untuk tenaga gas asli di seluruh Malaysia menawarkan potensi pertumbuhan yang ketara.

“Dengan pengembangan infrastruktur penyimpanan dan penghantaran gas asli cecair kami hampir siap, Lembaga Pengarah PGB telah meluluskan keputusan pelaburan terakhir untuk loji janakuasa gas 100 megawatt tambahan di Kimanis tahun lepas manakala kajian kemungkinan untuk beberapa projek pertumbuhan termasuk pengembangan infrastruktur gas juga sedang dijalankan,” katanya.

Adif berkata inisiatif itu memastikan segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula PGB akan memenuhi keperluan gas negara kerana loji arang batu dihentikan secara beransur-ansur serta memacu pertumbuhan hasil.

Beliau berkata apabila rantau ASEAN terus meneruskan cita-cita perdagangan tenaga serantaunya, lokasi strategik Malaysia dan infrastruktur gas asli yang kukuh menjadikannya pilihan utama sebagai hab gas serantau.

“Memanfaatkan keupayaan, kepakaran dan reputasi kami terbukti, kami meletakkan PGB secara strategik sebagai pemboleh utama untuk Saluran Paip Gas Trans-ASEAN,” katanya.

Beliau berkata syarikat itu akan memajukan strategi pengurangan karbon termasuk penangkapan karbon dan penggunaan karbon dioksida sebagai bahan api alternatif sambil mengembangkan fokusnya pada projek langkah keluar seperti memanfaatkan tenaga sejuk dan sistem penyimpanan tenaga untuk menyokong pelepasan karbon lebih rendah pada masa depan.

Usaha itu akan membantu Malaysia secara berperingkat memperluaskan peraturan alam sekitarnya termasuk cukai karbon diumumkan baru-baru ini untuk industri besi, keluli dan tenaga, katanya.

“Untuk tujuan ini, kami terus terlibat secara aktif dalam dialog dengan badan kerajaan dan penggubal dasar global, memastikan kami menyumbang kepada pembentukan dasar dan peraturan yang memberi kesan kepada sektor gas,” kata Adif.

Beliau berkata banyak lagi langkah strategik diambil sejak beberapa tahun lepas telah meletakkan asas kukuh untuk transformasi PGB, mengubah daripada syarikat tenaga tradisional kepada peneraju dalam memangkin peralihan tenaga Malaysia.

Adif memberitahu syarikat terus komited untuk mengutamakan amalan bertanggungjawab dan memajukan pertumbuhan mampan kerana ia membentuk masa depan sektor tenaga negara.

-- BERNAMA


TAG:
NAMS NII YAM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan