JENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 4,000 Unit Barangan Tiruan Di Bazar Aidilfitri Senawang

21/03/2025 07:23 PM

SEREMBAN, 21 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah merampas 4,389 unit barangan disyaki tiruan bernilai RM127,150 di Bazar Aidilfitri Senawang di sini semalam.

Pengarahnya Mohammad Zahir Mazlan berkata antara barangan yang dirampas adalah seluar, baju, selipar, kasut dan beg tangan pelbagai jenama menerusi operasi Op Gempur Barang Tiruan sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.

Beliau berkata serbuan tersebut dilakukan hasil daripada aduan pihak pemilik cap dagang dan orang awam.

"Dalam operasi tersebut, seramai enam orang warga tempatan berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan di tempat kejadian bagi membantu siasatan.

"Operasi yang bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 66 Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri, 11 anggota polis serta 12 wakil pemilik cap dagang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohammad Zahir berkata lapan kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan aduan berhubung salah laku peniaga atau ketidakpatuhan, lengkap dengan butiran yang relevan, melalui WhatsApp di 019-848 8000, aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN, atau menghubungi Pusat Panggilan di 1-800-886-800.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan