AM

Lingkaran Tengah Utama Belum Dibuka Untuk Aidilfitri - Nanta

22/03/2025 10:03 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) akan dibuka dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai video yang tular di media sosial bahawa seksyen 4A LTU membabitkan sebahagian jalan antara Raub, Kuala Lipis dan Gua Musang akan dibuka untuk Aidilfitri, beliau berkata laluan itu masih lagi dalam peringkat pembinaan dan tarikh jangkaan siap semasa ialah pada 26 Ogos ini.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa kemajuan proses pembinaan laluan ini sudah mencapai 83.21 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memahami keterujaan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan baharu itu terutama ketika pulang berhari raya nanti, namun beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

Nanta berkata penyebaran berita yang tidak sahih seperti itu boleh mengundang bahaya dan merisikokan keselamatan pengguna jalan raya.

“Sudah tentunya saya juga berharap laluan ini dapat dibuka dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk keselesaan semua pengguna jalan raya terutama rakyat Pahang dan Kelantan yang berada di perantauan. 

“Namun, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya, saya memohon semua pihak bersabar agar laluan ini dapat disiapkan dengan sempurna dan terbaik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan