AM

Jadikan Ramadan Medan Latih Integriti, Disiplin Dalam Diri - PM

22/03/2025 07:44 PM

TUARAN, 22 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai medan bagi melatih integriti dan disiplin diri.

Beliau berkata dalam bulan Ramadan, umat Islam wajib berpuasa dan ibadah itu sendiri melatih diri erti integriti serta disiplin dalam meningkatkan ketakwaan dan keyakinan kepada Allah.

“Siapa yang tahu kamu puasa atau tidak, itu hanya kamu dan Allah. Jadi, ini sendiri melatih integriti dan disiplin dalam menunaikan ibadah puasa.

"Kita dilatih untuk berpuasa, apa erti disiplin, integriti dan keperibadian unggul kerana kita dilatih bertanggungjawab kepada Allah. Integriti ini dilatih semasa Ramadan," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Anwar berkata Ramadan juga mengajar dimensi kemanusiaan kepada umat Islam dengan merasai sendiri pelbagai cabaran antaranya lapar dan dahaga selain kesukaran yang dialami golongan kurang berkemampuan.

“ ...Ramadan mengajar kita ada nilai Rahmah. Sudah dua pertiga Ramadan ini apakah benar ada kesedaran kita menjaga orang miskin. Kalau betul, kita bantu anak yatim dan orang miskin pada Ramadan ini supaya mereka sambut Aidilfitri dengan gembira.

"Ramadan mengajar kita untuk lebih prihatin terhadap jiran tetangga yang susah. Kita dapat merasai bagaimana sukarnya hidup dalam kemiskinan," katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam untuk memakmurkan masjid dan menunaikan tanggungjawab membayar zakat bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Bayar zakat sekali lagi mengingatkan kita (bahawa) ini instrumen ekonomi penting untuk bantu rakyat yang susah. Di sekeliling kita masih ada yang merempat hidupnya," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan