AM

KPN Sasar Lebih Banyak RT Progresif, Peruntuk RM20 Juta

23/03/2025 09:42 PM

BUKIT MERTAJAM, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan lebih banyak Rukun Tetangga (RT) Progresif ditubuhkan tahun ini bagi membantu meningkatkan ekonomi komuniti di kawasan terlibat.

Ketua Setiausaha KPN Datuk Ruji Ubi berkata pada tahun ini KPN memperuntukkan RM20 juta geran bagi RT Progresif dan setakat ini terdapat lebih 100 RT Progresif di seluruh negara.

"Saya mohon supaya jumlah RT Progresif itu ditambah sebab peruntukan yang KPN ada pada tahun ini RM20 juta, macam di Pulau Pinang ada enam setakat ini dan kalau boleh tingkatkan jadi 12 RT Progresif atau lebih.

"RT Progresif adalah satu program di Kawasan Rukun Tetangga (KRT), ia merupakan satu program ekonomi yang baru diperkenalkan tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan KRT Pulau Pinang dan penyampaian bakul Rahmah peringkat Pulau Pinang di Wisma Al-Ansar di sini malam ini.

Sebelum ini, KPN mengumumkan program  RT Progresif dijangka dapat memacu kecemerlangan dalam khidmat komuniti dan kerja kemasyarakatan melalui lapan bidang tumpuan meliputi Ekonomi dan Sara Hidup, Keselamatan dan Ketahanan Komuniti Kepimpinan,  Kesejahteraan Komuniti, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya, serta Daya Cipta.

Mengulas lanjut, Ruji berjaya KPN menumpukan keutamaan kepada bidang ekonomi, sara hidup dan keterjaminan makanan khususnya dalam gerak kerja bagi memperkasakan agenda ekonomi komuniti RT Progresif.

Beliau berkata pelaksanaannya berupaya meningkatkan produktiviti RT Progresif melalui peningkatan pendapatan isi rumah dan membantu menangani kos sara hidup yang bertambah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan