DUNIA

Ringgit Dibuka Tidak Berubah Berbanding Dolar US

25/03/2025 12:49 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana isyarat bercampur daripada Presiden AS, Donald Trump yang mencadangkan bahawa negara tertentu mungkin menerima pengecualian tarif apabila tarif timbal balik berkuat kuasa pada 2 April depan, meningkatkan minat untuk aset berisiko.

Pada 8 pagi, ringgit berada pada 4.4325/4485 berbanding dolar US daripada 4.4325/4370 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk terbaharu itu memberi gambaran bahawa langkah tarif akan lebih bersasar, justeru kesan terhadap ekonomi global dilihat terkawal.

“Aset berisiko seperti ekuiti meningkat semula dengan S&P 500 melonjak lebih satu peratus manakala Perbendaharaan AS dua dan 10 tahun masing-masing menghasilkan sembilan mata asas lebih tinggi, masing-masing kepada 4.03 peratus dan 4.33 peratus,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata Bank Negara Malaysia mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan unjuran inflasi bagi 2025 masing-masing pada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.5 peratus, menunjukkan penilaian ekonomi adalah konsisten walaupun terdapat prospek mencabar dari luar negara.

“Sehubungan itu, ringgit dijangka naik hari ini berikutan sentimen risiko yang bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7880/8053 daripada 4.8039/8088 ketika ditutup semalam, melonjak berbanding pound Britain kepada 5.7277/7484 daripada 5.7441/7499 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.9395/9505 daripada 2.9631/9663.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.3103/3225 daripada 3.3148/3184 sebelum itu, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 267.5/268.6 daripada 267.5/267.9 dan menambah berbanding baht Thailand kepada 13.0433/0988 daripada 13.0849/1043.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.73/7.76 berbanding 7.73/7.74 sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan