JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Tiga Lelaki Termasuk Warga Indonesia, Rampas Ganja Bernilai RM20,300

25/03/2025 03:06 PM

GEORGE TOWN, 25 Mac (Bernama) -- Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia serta merampas ganja bernilai RM20,300 dalam serbuan di negeri ini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata menerusi serbuan pertama kira-kira 1.35 pagi di sebuah pangsapuri di Batu Ferringhi, polis merampas sejumlah ganja hasil penahanan seorang lelaki dan pemeriksaan terhadap sebuah kereta Perodua Aruz yang diparkir di kawasan itu. 

“Dadah ditemukan terdiri daripada empat peket berisi ketulan mampat tumbuhan kering berlogo M dipercayai ganja seberat 2.05 kilogram (kg) bernilai RM6,360 dan sembilan peket kecil ganja seberat 210 gram(g) bernilai RM640," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan lelaki itu, polis menahan seorang lagi lelaki di tepi jalan di kawasan George Town pada 3.15 pagi dan berdasarkan soal siasat, polis menyerbu sebuah kediaman di Seberang Jaya sejam kemudian.

Abdul Rozak berkata di kediaman terbabit, polis menahan seorang lagi lelaki iaitu warga Indonesia dan merampas enam peket ketulan mampat ganja berlogo M seberat 3.11kg bernilai RM9,645 serta empat peket ganja seberat 1.184 kg bernilai RM3,655.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran sebelum membungkusnya semula dalam kuantiti kecil untuk pasaran sekitar Pulau Pinang.

"Setiap plastik ketulan mampat ganja itu mempunyai logo M dan kita percaya ia ada pengenalan atau tanda ganja tersebut dijual sindiket itu. Mereka turut menyimpan ganja dalam kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya menambah ganja itu dijual pada harga RM2,200 sekilogram.

Abdul Rozak berkata lelaki Indonesia itu berperanan sebagai penjaga rumah yang turut dijadikan stor penyimpanan ganja dan dia memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta masuk ke Malaysia untuk bekerja sebagai buruh manakala dua lagi lelaki bekerja sendiri.

Siasatan awal turut mendapati mereka aktif menjalankan kegiatan pengedaran ganja sejak Oktober tahun lepas manakala semua dadah dirampas boleh digunakan oleh 13,126 penagih.

“Polis turut menyita sebuah motosikal bernilai RM12,000. Kesemua lelaki berusia 35 hingga 40 tahun itu kini direman hingga 28 Mac untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dan menambah seorang daripada ditahan positif terhadap dadah dan memiliki dua rekod berkaitan dadah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan