JENAYAH & MAHKAMAH

Jumlah Kerugian Tipu Dalam Talian Di Jasin Catat RM1.9 Juta Setakat Mac

25/03/2025 05:27 PM

JASIN, 25 Mac (Bernama) -- Jumlah kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di Jasin merekodkan sebanyak RM1.9 juta setakat suku pertama tahun ini, meningkat berbanding RM451,330 bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Jasin Supt Mohamad Rusli Mat berkata pihaknya menerima laporan 74 kes dalam tempoh sama berbanding 35 kes tahun lepas, dengan kerugian tertinggi sebanyak RM352,000 membabitkan seorang kontraktor berusia 50-an.

"Lelaki itu telah terpedaya dengan iklan pelaburan palsu menerusi laman Facebook yang menjanjikan keuntungan kira-kira RM2 juta hingga menyebabkan wang simpanannya lesap setelah membuat bayaran secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini hari ini.

Beliau sehubungan itu menasihati orang ramai supaya berwaspada sekiranya terdapat elemen penipuan ditawarkan selain menjanjikan pulangan yang tinggi dalam tempoh singkat.

Mohamad Rusli berkata indeks jenayah di daerah berkenaan sepanjang tahun lepas mencatatkan penurunan iaitu sembilan peratus kepada 171 kes berbanding 188 kes pada 2023.

Beliau berkata penurunan didorong dengan peningkatan keberadaan polis di samping langkah pencegahan dilaksanakan selain kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) untuk meningkatkan kesedaran orang awam.

"Setakat Januari hingga Mac tahun ini juga, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Jasin berjaya menahan 16 individu dipercayai terlibat dengan 13 kes mengedar dadah,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan