SUKAN

Prestasi Baik Tetapi Perlu Banyak Kerja Lagi - Cklamovski

26/03/2025 01:47 AM

ISKANDAR PUTERI, 25 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih Peter Cklamovski memuji pemain Harimau Malaya selepas Malaysia membenam Nepal dalam aksi pertama Kumpulan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam ini.

Jurulatih dari Australia itu, dalam sidang media selepas perlawanan, berkata walaupun masa persiapan agak terhad, pasukannya berjaya  menterjemahkan sesi latihan mereka kepada persembahan mantap di atas padang.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan menjelang perlawanan seterusnya.

“Persembahan yang baik. Saya bangga dengan pemain kerana mereka memberikan segala-galanya untuk perlawanan ini. Segala usaha kami dalam kem latihan walaupun singkat telah diterjemahkan kepada prestasi yang kuat malam ini. Pemain memberikan komitmen fizikal sepenuhnya sepanjang minggu dan sangat fokus secara mental.

“Terdapat banyak peluang yang baik. Pada malam lain, mungkin kami dapat menjaringkan lebih banyak gol tetapi yang penting adalah kami mencipta peluang, menjaringkan dua gol tanpa bolos dan mendapatkan tiga mata. Kami tahu masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan kami juga sedar akan potensi besar pasukan ini. Oleh itu, kami perlu bekerja keras untuk terus meningkat setiap hari,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Nepal, Matt Ross, menerima kekalahan pasukannya dan mengakui mereka tewas kepada lawan yang lebih hebat.

Ross berkata perbezaan ketara dalam kualiti antara Malaysia dan pasukannya jelas kelihatan dalam perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, pemain naturalisasi baharu Hector Hevel meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-29 sebelum pemain pertahanan Corbin Ong menggandakan jaringan pada minit ke-71 untuk memastikan kemenangan.

Sementara itu, Vietnam memulakan kempen mereka dengan bergaya selepas membelasah Laos 5-0 di Stadium Binh Duong, sekali gus mendahului carta kumpulan dengan tiga mata, sama seperti Malaysia yang berada di tempat kedua.

Malaysia akan menentang Vietnam di tempat sendiri pada 10 Jun sebelum bertandang ke Laos pada 9 Ok ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan