EKONOMI

Perjalanan Udara Asia Pasifik Meningkat Semula Lepasi Paras Prapandemik - Aapa

26/03/2025 10:49 AM

Daripada Karina Imran

PERTH, 25 Mac (Bernama) -- Perjalanan udara Asia Pasifik meningkat semula melepasi paras prapandemik, dipacu oleh permintaan kukuh, pertumbuhan ekonomi global dan peningkatan jumlah penumpang, kata Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA).

Ketua Pengarahnya Subhas Menon berkata rantau ini telah melepasi paras prapandemik seawal November 2024.

"Sekiranya kita melihat kepada ketibaan pelawat dan jumlah penumpang, rantau Asia Pasifik berkembang lebih kukuh berbanding rantau lain.

"Oleh itu, tidak mengejutkan sekiranya rantau itu telah melepasi paras prapandemik. Ini memandangkan ekonomi rantau ini juga berkembang lebih cepat berbanding yang lain di seluruh dunia," katanya pada program Routes Asia 2025 di sini.

Routes Asia adalah acara penerbangan utama yang menghimpunkan lebih 110 syarikat penerbangan dan 160 lapangan terbang daripada komuniti pembangunan laluan Asia Pasifik.

Diadakan bermula 25 hingga 27 Mac di Pusat Konvensyen dan Pameran Perth, acara ini menarik penyertaan lebih 900 perwakilan termasuk wakil lapangan terbang, syarikat penerbangan, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan utama dalam sektor penerbangan.

Routes Asia 2025 berfungsi sebagai platform penting bagi pembuat keputusan untuk mengadakan lebih 3,000 mesyuarat secara bersemuka, bertukar-tukar amalan terbaik dan meneroka peluang perkhidmatan udara baharu.

Ia juga menampilkan sesi persidangan yang dikendalikan oleh pakar antarabangsa dalam penerbangan dan pelancongan.

Menon berkata walaupun mendapat permintaan kukuh, industri penerbangan mengalami gangguan rantaian bekalan yang ketara, menjejaskan penghantaran pesawat dan pengembangan kapasiti keseluruhan.

"Pada 2024, industri penerbangan mengalami kekurangan kira-kira 25 peratus dari segi penghantaran pesawat. Pada 2025, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengunjurkan penyusutan berjumlah 21 peratus.

"Mengapa? Berikutan  masalah rantaian bekalan. Cabaran ini melibatkan seluruh ekosistem penerbangan, menjejaskan pengeluar pesawat, pembekal bahagian dan pengeluar enjin," katanya.

Selain itu, peningkatan kos operasi kekal sebagai cabaran utama.

"Biasanya, sesebuah industri mempunyai empat kaedah pengeluaran: bahan mentah, modal, buruh dan kilang. Peningkatan kos di kawasan-kawasan ini memberi impak kepada sektor ini," katanya.

Bagaimanapun, Menon berkata rantau Asia Pasifik tetap berdaya tahan meskipun berdepan dengan kekangan.

Mengenai kemampanan, beliau berkata syarikat penerbangan sedang memimpin usaha untuk memerangi perubahan iklim tetapi memerlukan sokongan lebih besar daripada kerajaan dan pembekal.

"Syarikat penerbangan diminta untuk menanggung kos peralihan. Bagi meningkatkan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF), kos tambahan yang diperlukan untuk industri penerbangan global berjumlah US$4.7 trilion.

"Kebanyakan kos ini akan ditanggung oleh syarikat penerbangan berikutan 66 peratus daripada pengurangan pelepasan perlu daripada SAF," katanya.

Selain kos bahan api, beliau berkata syarikat penerbangan turut berdepan dengan peningkatan peraturan kerajaan, cukai dan mandat yang menambahkan tekanan kewangannya.

"Secara ringkasnya, kos yang ditanggung oleh industri penerbangan berjumlah US$744 bilion pada 2050 berbanding US$1 bilion yang dibelanjakan untuk bahan api. Oleh itu, ini adalah kos yang besar," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan