AM

Harga Barangan Asas Menjelang Aidilfitri Terkawal - Fahmi

26/03/2025 05:45 PM

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Harga barangan asas sempena Aidilfitri adalah terkawal susulan usaha yang diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada KPDN dan KPKM dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini atas kejayaan kedua-dua kementerian memastikan harga barangan asas terkawal terutama sepanjang tempoh menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata usaha ini turut dilaksanakan oleh para pemain industri yang memberikan kerjasama kepada KPDN dan KPKM dalam memastikan harga barangan terus terkawal. 

"Kita juga lihat beras putih tempatan telah mula sampai ke pelbagai lokasi dan KPKM secara berterusan berusaha mengenal pasti tempat-tempat yang belum memperoleh beras putih tempatan dan menyampaikannya.

“Malah ada dalam kalangan menteri yang menyatakan di sesetengah tempat, harga telur pun turun menjelang Adilfitri. Jadi ini adalah petanda yang agak positif," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Fahmi turun menyarankan orang ramai agar memanfaatkan aplikasi PriceCatcher bagi mengenal pasti lokasi yang menjual produk barangan asas pada harga  berpatutan selain dapat membuat perbandingan harga di premis yang menjual produk sama. 

Beliau juga berkata Perdana Menteri turut menjelaskan kepada Jemaah Menteri bahawa Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2025 sebanyak RM500 dan kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dinikmati penjawat awam membabitkan jumlah yang signifikan dan berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI. 

Pada Disember tahun lepas, Fahmi berkata gaji penjawat awam yang menandatangani SSPA naik lapan peratus untuk fasa pertama manakala fasa kedua kenaikan iaitu sebanyak tujuh peratus akan dilaksana pada hujung tahun ini.

"… dan baru-baru ini, Perdana Menteri juga telah mengumumkan BKK Aidilfitri buat penjawat awam sebanyak RM500 bagi Gred 56 ke bawah dan RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen dan juga guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan BKK Aidilfitri berjumlah RM500 kepada 14,000 penjawat awam di Terengganu.

"Ini antara usaha kerajaan untuk memastikan rakyat terus menerima bantuan dan insya-Allah, kita harap ia akan menceriakan (mereka) terutama menjelang Aidilfitri," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan