KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Punca kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri daripada Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, Sarawak Isnin lepas adalah akibat trauma tumpul pada dada.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini yang mengesahkan telah menerima laporan insiden kematian anggotanya itu memaklumkan trauma tumpul pada dada merujuk kepada hentakan kuat di bahagian badan berkenaan menyebabkan kerosakan pada jantung.
Menurut kenyataan itu, punca kematian Muhammad Muqriz, yang berusia 21 tahun, adalah berdasarkan laporan awal hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Miri semalam.
TDM juga memaklumkan siasatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan berkenaan mendapati wujud unsur ‘manhandling’ yang dipercayai penyebab kematian Allahyarham.
“Justeru, TDM telah menyerahkan kes ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut dan turut menubuhkan Lembaga Siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca serta faktor yang menyumbang kepada insiden ini,” menurut kenyataan itu.
TDM turut memaklumkan jenazah Muhammad Muqriz telah diterbangkan ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Petaling Jaya pada 11.55 malam tadi.
Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dalam kenyataan sama memaklumkan TDM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil serta tidak berkompromi terhadap anggota yang didapati bersalah.
TDM juga berharap orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“PTD turut berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka bertabah dengan kehilangan ini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan