SHAH ALAM, 26 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima zakat perniagaan daripada empat syarikat berjumlah RM7.65 juta di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah di sini.
Syarikat berkenaan ialah Tenaga Nasional Berhad (RM3.39 juta), Amanah Hartanah Bumiputera (RM1.86 juta), CIMB Islamic Bank Berhad (RM1.2 juta) dan Safeguards Secure Solution Sdn Bhd (RM1.2 juta).
Sultan Selangor berkenan menerima zakat perniagaan itu pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, Penyampaian Sumbangan Hari Raya serta Perasmian Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah.
Mengiringi baginda pada majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Ketika bertitah, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Aidilfitri kepada umat Islam dan meluahkan harapan agar Ramadan ini membawa perubahan yang positif dalam diri masing-masing.
"Semoga Ramadan kali ini akan berjaya mendidik hati umat Islam dengan sikap sabar, disiplin, amanah serta mengawal nafsu untuk sepanjang kehidupan dan tidak hanya di bulan Ramadan," titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 423 asnaf dari Daerah Petaling dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM211,500.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan merasmikan Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah yang merupakan masjid pengurusan dan siap dibina pada tahun lepas.
Masjid yang menelan kos RM24.1 juta itu mampu memuatkan sehingga 4,500 jemaah dalam satu masa.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan