EKONOMI

EPIC Berhasrat Kembangkan Perniagaan Tenaga Boleh Baharu

27/03/2025 10:58 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu berhasrat mengembangkan perniagaan berkaitan tenaga boleh baharu termasuk pemasangan dan penyelenggaraan projek ladang solar dan solar atas bumbung.

EPIC yang ditubuhkan pada 17 Januari, 1981 merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kumpulan Terengganu Inc yang beroperasi sebagai penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu untuk rantaian nilai huluan dan hiliran.

Perniagaan terasnya meliputi penyediaan perkhidmatan pangkalan bagi industri minyak dan gas luar pesisir, selain pengurusan pelabuhan, perkhidmatan marin, perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Bhd Muhtar Suhaili berkata melalui anak syarikatnya EPIC Solar Sdn Bhd (ESSB) dan Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB), ia berhasrat meningkatkan perniagaan dalam projek berkaitan tenaga boleh baharu termasuk potensi penglibatan dalam projek ladang solar terapung berskala besar oleh TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan Terengganu Inc (TI) di Tasik Kenyir.

“Kita sedang berbincang dengan pihak-pihak berkaitan supaya EPIC diberi peluang untuk menjadi kontraktor kepada projek-projek berkaitan solar kerana kita mempunyai pengalaman dan dalam fasa untuk terus meningkatkan keupayaan.

“Satu-satunya perkara yang kita perlu pastikan ialah projek-projek ini memberi pulangan yang baik kepada syarikat bagi memastikan kemampanan dalam hasil pendapatan dan keuntungan daripada segmen perniagaan itu,” katanya kepada Benama.

Beliau berkata terdapat banyak projek berkaitan solar yang sedang diusahakan oleh EPIC dan ketika ini menerima sambutan positif serta menarik minat pihak industri.

 

EPIC antara perintis teknologi fotovoltaik solar wilayah Pantai Timur

EPIC melalui anak syarikatnya ESSB merupakan antara perintis ladang fotovoltaik (PV) solar berskala besar di Malaysia khususnya di wilayah Pantai Timur.

EPIC Solar telah membangunkan loji jana kuasa solar seluas 28 hektar di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu yang mengaplikasikan teknologi hijau lestari sepenuhnya.

Loji jana kuasa itu telah mula beroperasi sejak April 2018.

Tenaga berkuasa 18.5 megawatts (MW) yang dijana oleh loji jana kuasa solar berkenaan dipindahkan terus kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui sistem grid nasional.

Muhtar berkata EPIC juga telah mengaktifkan anak syarikatnya, EPPSB pada 2024 yang menumpukan kepada perniagaan berkaitan solar bukan berskala besar (non-large scale solar) seperti lampu jalan solar, dan kereta bugi menggunakan tenaga solar.

“Kita sudah menghasilkan dan menjual tujuh buah kereta bugi mengggunakan tenaga solar yang dinamakan EPIC Solar Car (ESCAR). Kereta bugi menggunakan tenaga solar ini antara inisiatif kita yang dibangunkan melalui penyelidikan secara bersama oleh EPIC dan Kolej Universiti TATI (UC TATI).

“Kita juga sedang berbincang dengan beberapa kelab golf untuk menggunakan ESCAR sebagai alternatif yang lebih mesra alam,” katanya. 

“Kita (EPIC) sudah berhubung dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menjadi pemasang atau penyedia perkhidmatan PV solar berdaftar dan pelabur PV solar berdaftar untuk menjayakan perniagaan tenaga boleh baharu ini,” katanya.

 

EPIC sasar belanja RM2.8 juta untuk program CSR kelestarian tahun ini

Mengenai kerangka kelestarian, Muhtar berkata di bawah Rangka Kerja Kelestarian dan Aspirasi EPIC (Sustainability Framework and Aspiration EPIC), pihaknya telah menggariskan tiga tonggak utama bagi memastikan syarikat mematuhi piawaian global iaitu Kelestarian Alam Sekitar; Impak Sosial yang Positif; dan Tadbir Urus yang Lestari.

“Sebagai GLC, kita memang komited dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Tahun lepas, syarikat telah membelanjakan RM2.3 juta untuk program CSR dan tahun ini, kami menganggarkan perbelanjaan CSR meningkat kepada RM2.8 juta.

“Syarikat juga mematuhi dan mengadaptasi panduan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), selain mewujudkan polisi berkaitan ketelusan, antirasuah, integriti dan sebagainya.

Beliau berkata inisiatif lain berkaitan kerangka kelestarian termasuk penyertaan EPIC dalam Program Sokongan Pembekal Petronas (PSSP) selain memperkenalkan pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bermula tahun ini.

“Kami juga dalam proses untuk mendapatkan semua keperluan  pensijilan pelabuhan hijau bagi Pelabuhan Kemaman menjelang 2035,” katanya.

Muhtar turut berkongsi beberapa projek lain yang selari dengan kerangka kelestarian seperti projek Kemudahan Kitar Semula Kapal Hijau (GSRF) merangkap Kemudahan Pemulihan Penyahtauliahan (DRF) di Pelabuhan Kemaman yang mematuhi Konvensyen Antarabangsa Hong Kong untuk Kitar Semula Kapal yang Selamat dan Mesra Alam (Hong Kong Convention).

Kesemua aktiviti dan projek berkenaan jelas menunjukkan komitmen EPIC terhadap kelestarian dan kemampanan, melangkaui kepelbagaian perniagaan yang diceburi oleh syarikat itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan