PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Lesen syarikat umrah, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd digantung berkuat kuasa pada 28 Feb lepas hingga 31 Ogos ini, menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh berkenaan, syarikat itu hendaklah menyelesaikan semua perjalanan yang ditempah atau dibayar dan tidak membuat sebarang urus niaga baharu, termasuk tidak membuat pengiklanan jualan pakej.
Syarikat itu juga diarahkan untuk memulangkan semula bayaran serta dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan, dengan serta-merta.
"MOTAC memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI," menurut kenyataan itu.
Pada 14 Jan lepas, Hejira Travel and Tours Holding Sdn Bhd didakwa gagal menguruskan perjalanan lebih 300 jemaah di bawah kendaliannya ke Tanah Suci.
Dalam pada itu, MOTAC dalam kenyataan berasingan memaklumkan selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992, keputusan telah diambil untuk membatalkan lesen syarikat Borneovac Travel Sdn Bhd berkuat kuasa pada 28 Feb lepas.
Syarikat berkenaan sebelum ini didakwa mengoperasikan pakej memancing menggunakan bot laju sehingga memasuki perairan Filipina secara haram pada 1 Sept 2024 dan menyebabkan 15 individu termasuk warganegara Malaysia dan China ditahan pihak berkuasa negara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial