AM

Harga Barang Terkawal, Tiada Kekurangan Bekalan - PM Anwar

27/03/2025 02:21 PM

SUBANG JAYA, 27 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) telah dapat memastikan harga barangan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri terkawal, selain tiada masalah kekurangan bekalan bahan makanan berlaku, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hasil tindakan berterusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makaman (KPKM), juga berjaya memastikan harga barangan makanan tertentu menjadi lebih murah dalam tempoh berkenaan.

“Tidak ada masalah kekurangan barang dan ia (SHMMP) juga dapat memastikan harga itu turun, terutamanya macam telur (masih ada di pasaran) dan banyak barang lain lagi,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Singgah MADANI bagi meninjau harga barang sempena SHMMP sempena Hari Raya Aidilfitri di Pasar Raya Mydin USJ Subang hari ini.

Turut hadir Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Anwar turut berterima kasih kepada pengurusan Mydin Holdings (Mydin) yang turut serta dalam membantu menawarkan harga berpatutan kepada rakyat.

“Syarikat seperti Mydin membantu supaya barang-barang yang tidak termasuk dalam kawalan produk, dia cuba turunkan harga,” kata beliau.

Program Singgah MADANI bertujuan untuk memberi penerangan tentang usaha dan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI, dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Selain daripada Forum Cakna Kenegaraan yang dikendalikan oleh AKM, antara pengisian lain dalam Program Singgah MADANI pada kali ini ialah Kempen Penurunan Harga Barangan oleh pihak KPDN.

Terdahulu Anwar yang tiba pada pukul 11.40 pagi itu turut meluangkan masa meninjau harga dan kuantiti barangan di pasaran, serta merasmikan kempen turun harga dan peletakan logo Malaysia MADANI di pasar raya itu.

Perdana Menteri turut melancarkan jualan Happy Hour Singgah MADANI yang menyaksikan ramai pembeli mengambil peluang membeli barangan keperluan dengan harga yang berpatutan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan