EKONOMI

KPJ Healthcare Jual Hartanah Kepada Al-'Aqar Reit Bernilai RM241 Juta

27/03/2025 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh KPJ Healthcare Bhd memeterai dua perjanjian jual beli bersyarat berasingan bagi menjual hartanah kepada Al-`Aqar Healthcare REIT dengan nilai RM241 juta.

Hartanah tersebut merupakan bangunan baharu iaitu KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital (APSH) dan KPJ Penang Specialist Hospital (PSH) yang dimiliki oleh Ampang Puteri Specialist Hospital Sdn Bhd dan Penang Specialist Hospital Sdn Bhd.

Sebagai sebahagian daripada penjualan yang dicadangkan, anak syarikat tersebut akan menyewa semula hartanah daripada pemegang amanah Al-`Aqar, AmanahRaya Trustees Bhd dengan JLG REIT Managers Sdn Bhd (JLGRM) menguruskan sewaan berkenaan.

KPJ berkata hasil tunai daripada jualan itu akan digunakan bagi membayar kemudahan bank (RM100,000), modal kerja (RM139,000) dan anggaran perbelanjaan untuk cadangan penjualan dan sewa semula (RM2,000).

Katanya, sewa semula yang dicadangkan iaitu selama 11 tahun untuk APSH dan 15 tahun untuk PSH, kedua-duanya dengan pilihan pembaharuan selama 15 tahun.

Menurut KPJ, hartanah tersebut mesti digunakan semata-mata untuk operasi penjagaan kesihatan seiring dengan prinsip Syariah.

KPJ melalui anak syarikat milik penuhnya itu akan memeterai empat perjanjian pembaharuan sewa yang berasingan dengan pemegang amanah dan JLGRM melibatkan PSH, Taiping Medical Centre, TMC Health Centre, KPJ Seremban Specialist Hospital (bangunan lama), bangunan baharu SSH, tanah kosong SSH, KPJ Healthcare University dan KPJ International College, Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, anak syarikat pembaharuan sewa, pemegang amanah dan JLGRM memeterai memorandum lanjutan pada 25 Mac 2025 bagi mengemas kini terma dan sambungan sewa.

“Jualan dan sewa semula yang dicadangkan akan membolehkan kumpulan KPJ membuka nilai hartanah yang dijual manakala pembaharuan sewa yang dicadangkan akan memastikan operasi kumpulan KPJ tidak akan terganggu,” katanya.

Tanpa ada sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan itu dijangka diselesaikan pada suku kedua 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan