SUKAN

BAC: Tze Yong Sedia Kembali, Enggan Letak Harapan Tinggi

28/03/2025 12:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong enggan meletakkan harapan tinggi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, yang merupakan penampilan pertamanya selepas berehat panjang lebih setahun susulan kecederaan belakang.

Tze Yong berkata apa yang penting buatnya ketika ini ialah merasai semula suasana pertandingan pada saingan BAC 2025 dijadual 8-13 April ini, selepas kali terakhir beraksi pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia 2024 di Selangor.

“Saya rasa kemajuan (keadaan fizikal) sudah 80 hingga 90 peratus. 

“Apa yang penting juga jangan cedera lagi dan dapat keluarkan apa yang saya ada sekarang ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Cabaran getir menanti pemain berusia 24 tahun di Ningbo apabila dijadual membuka kempen menentang juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Rekod pertemuan memihak kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024 itu, apabila pernah menang ke atas Tze Yong sebanyak dua kali setakat ini.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya beraksi tiga kejohanan pada musim lepas, sebelum terpaksa disisihkan buat tempoh lama selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan belakang dialami.

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kenneth Jonassen berkata pemain dari Johor itu perlu menyertai sekurang-kurangnya satu kejohanan sebelum akhir April bagi mengekalkan kedudukan ke-18 selama enam bulan lagi.

Sekiranya Tze Yong gagal berbuat demikian, beliau akan kehilangan semua mata ranking dan terkeluar sepenuhnya daripada senarai ranking, sekali gus memaksanya untuk memulakan semula dari awal.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan