ISTANBUL, 28 Mac (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Kanada Mark Carney, pada Khamis mengumumkan era hubungan tradisional antara Kanada dan Amerika Syarikat (AS) telah berakhir, sekali gus menamatkan integrasi mendalam dalam aspek ekonomi dan keselamatan antara kedua-dua negara.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet di Ottawa, Carney memberikan penilaian terus terang mengenai hubungan dua hala sambil menegaskan kedaulatan Kanada, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Hubungan lama yang kita ada dengan AS, berdasarkan pengukuhan integrasi ekonomi kami serta kerjasama keselamatan dan ketenteraan yang erat, sudah berakhir. Apa langkah AS seterusnya masih belum jelas. Namun, yang pasti, kita sebagai rakyat Kanada mempunyai kuasa dan merupakan tuan di tanah sendiri,” katanya.
“Kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada AS secara drastik, mengubah hala tuju hubungan perdagangan ke tempat lain serta melakukan perkara yang sebelum ini dianggap mustahil pada kadar yang belum pernah kita saksikan dalam beberapa generasi,” kata beliau.
Carney menggariskan wawasan bercita-cita tinggi untuk meningkatkan keupayaan Kanada untuk berdikari, dengan menekankan keperluan tindakan yang tegas dan pantas.
“Kita boleh mengawal masa depan kita. Kita boleh memberikan lebih banyak manfaat kepada diri kita sendiri berbanding apa yang boleh diambil oleh mana-mana kerajaan asing, termasuk AS,” katanya.
Beliau turut menyeru mobilisasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini di seluruh Kanada.
“Ia memerlukan kerja keras, keazaman yang teguh dan fokus daripada kerajaan, perniagaan, tenaga kerja dan rakyat Kanada,” katanya.
Carney turut berikrar melaksanakan tindak balas serampang tiga mata terhadap tarif baharu AS, dengan berjanji untuk “melawan, melindungi dan membina.” Ottawa, katanya, akan “melawan” tarif itu menerusi langkah tindak balas yang menyasarkan AS secara strategik sambil meminimumkan kesan terhadap Kanada.
Beliau juga komited untuk melindungi pekerja dan industri “sepanjang tempoh sukar ini” serta menyifatkan “menerima realiti yang mencabar ini” sebagai langkah pertama yang perlu diambil.
“Paling utama, kita akan membina semula ekonomi Kanada. Kita akan membina Kanada yang lebih kuat,” katanya.
Carney turut mendedahkan bahawa Presiden AS Donald Trump, telah menghubunginya untuk mengatur satu panggilan.
“Saya menghargai peluang ini untuk membincangkan bagaimana kita boleh melindungi pekerja dan membangunkan ekonomi kita. Saya akan menyatakan dengan jelas kepada presiden bahawa kepentingan itu paling baik dilindungi melalui kerjasama dan saling menghormati, termasuk menghormati kedaulatan kami,” katanya.
Pada Rabu, Trump mengumumkan tarif 25 peratus ke atas kereta dan alat ganti kenderaan yang diimport ke AS, serta memberi amaran pada Khamis bahawa jika Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) bertindak balas, tarif tambahan akan dikenakan.
Sebagai tindak balas, Carney menggantung kempen pilihan rayanya bagi mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kabinet Hubungan Kanada-AS yang bertanggungjawab merangka tindak balas komprehensif terhadap tarif ke atas kenderaan asing yang memasuki AS.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial