AM

Mantai Rayo Negeri Sembilan Semarakkan Kemeriahan Aidilfitri

28/03/2025 02:23 PM

SEREMBAN, 28 Mac (Bernama) -- Kehangatan sambutan Aidilfitri semakin dirasai apabila tradisi mantai di Negeri Sembilan kembali menghidupkan suasana meriah, sekali gus menyemarakkan lagi semangat raya dalam kalangan penduduk setempat.

Rata-rata pengunjung mula beratur seawal 7 pagi di Masjid Dato Klana Petra Mohd Yusof, lokasi utama Mantai Rayo 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, bagi mendapatkan daging mentah pada harga lebih murah daripada pasaran.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sambutan mantai tahun ini sangat meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung, meskipun kerajaan negeri tidak memberikan subsidi untuk penjualan daging mentah.

"Inilah suasana mantai rayo Nismilan (Negeri Sembilan). Ramai yang datang untuk membeli daging pada harga RM35 sekilogram, di samping menikmati jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang Aidilfitri.

"Bagi DUN Sikamat, sebanyak sembilan ekor lembu disediakan untuk program Mantai Rayo, namun sambutan luar biasa sejak awal pagi menyebabkan kami risau bekalan akan habis awal. Jadi, kami cuba mendapatkan tambahan bekalan daging," katanya kepada pemberita selepas meninjau Mantai Rayo 2025 di DUN Sikamat, hari ini.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, berkata sebanyak 36 DUN di seluruh Negeri Sembilan menganjurkan program mantai bagi memudahkan masyarakat membeli barangan persiapan raya di kawasan masing-masing tanpa perlu pergi ke lokasi yang jauh.

Beliau turut memaklumkan bahawa program Mantai Rayo 2025, yang berlangsung selama tiga hari sehingga hari ini, turut digabungkan dengan Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI dan Jualan Nismilan Prihatin.

"Tahun ini, seramai 100 penerima dalam kalangan golongan kurang berkemampuan di setiap DUN menerima sekilogram daging secara percuma, termasuk barangan asas lain sebagai bantuan persiapan raya," katanya.

Pengunjung, Noraini Mansor, 57, berkata beliau membeli daging menerusi jualan mantai setiap tahun kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan, sekali gus membantu menjimatkan belanja bahan mentah.

"Meskipun perlu beratur panjang, saya berpuas hati dengan inisiatif ini. Wakil rakyat di kawasan ini sangat prihatin menyediakan pelbagai keperluan raya tanpa perlu kami ke tempat lain," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Tarmizi Jantan, 55, menyarankan agar program jualan murah seperti ini dilaksanakan sepanjang tahun kerana ia dapat memberikan pelbagai penjimatan kepada penduduk, khususnya dalam mendapatkan barangan dapur pada harga lebih rendah daripada pasaran.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan