AM

Kerja-kerja Tambah Baik Laluan Sehala Pekan Tapah Bermula 7 April - MB

28/03/2025 05:47 PM

IPOH, 28 Mac (Bernama) -- Kerja-kerja menambah baik laluan sehala di pekan Tapah dalam daerah Batang Padang akan dimulakan pada 7 April ini dan dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek fasa pertama itu dengan peruntukan RM2.2 juta daripada Kerajaan Persekutuan antaranya melibatkan penukaran laluan sementara kepada laluan kekal, menurap semula jalan selain membina pembahagi jalan, papan tanda dan garisan baharu.

Beliau berkata fasa kedua pula melibatkan pembinaan jalan baharu yang akan dimulakan tahun ini membabitkan kos RM17 juta menerusi peruntukan pembangunan negeri termasuk pembinaan laluan alternatif bagi pengguna Cameron Highlands-Kampar-Bidor tanpa perlu melalui pekan Tapah.

"Kerajaan negeri yakin apabila kedua-dua fasa ini siap, bukan sahaja aliran trafik akan menjadi lebih lancar, malah urusan perniagaan, pergerakan pelancong, penghantaran logistik dan aktiviti masyarakat akan menjadi lebih efisien dan selamat.

"Menyedari kesesakan trafik menjelang Aidilfitri dan kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dari 12 hingga 26 April ini, kerajaan negeri menggerakkan sepenuhnya keupayaan agensi penguat kuasa bagi melancarkan aliran trafik serta memudahkan pergerakan orang ramai," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Saarani berkata sidang media itu diadakan bagi memberikan pencerahan dan maklum balas susulan beberapa isu berhubung pelaksanaan sistem penyuraian trafik laluan sehala di pekan Tapah yang turut dilaporkan media baru-baru ini.

Beliau tidak menafikan pelaksanaan awal penyuraian trafik itu sejak lapan bulan lepas telah menimbulkan beberapa isu antaranya laluan sehala yang menyebabkan pertambahan jarak serta keadaan jalan yang rosak dan berlubang, selain kesan ekonomi terhadap pekan Tapah serta kekeliruan oleh pengguna luar.

Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri turut mengambil maklum isu melibatkan penjaja kecil yang terjejas akibat pelaksanaan sistem itu dan satu pertemuan telah diadakan bersama persatuan peniaga pada 24 Mac lepas bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Hasilnya, kerajaan telah mengenal pasti satu lokasi strategik yang dicadangkan sebagai tapak penempatan semula penjaja. Bagaimanapun beberapa proses pentadbiran dan isu pemilikan masih perlu dilaksanakan sebelum lokasi tersebut dapat dimuktamadkan.

"Cadangan tersebut disambut baik oleh persatuan peniaga dan sesi perbincangan serta libat urus akan dilaksanakan sama ada di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan agar segala permasalahan yang timbul dapat ditangani secara berkesan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan